Hentikan drama, fokus bakat - Utusan Malaysia

Hentikan drama, fokus bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN tidak berkesudahan, isu kritikan juri pedas dalam program realiti terus menjadi topik perdebatan umum. 

Ia umpama hidangan yang wajib disajikan kepada penonton setiap kali program realiti muncul di skrin televisyen. 

Tanpa elemen drama, sesebuah program realiti bagaikan kurang rencah dan asam garamnya. 

Baik program yang mengetengahkan bakat baharu mahupun disertai peserta profesional, elemen drama pasti diselitkan hingga objektif asal program bagaikan tersasar. 

Entah kenapa, perkara itu seolah-olah sudah menjadi rutin buat stesen televisyen. Lagi panas dan pedas komen yang dilontarkan, lagi tular sesuatu program, terutama apabila netizen turut masuk campur menyuarakan pandangan mereka. 

Untuk jangka masa pendek, pendekatan sebegitu membantu memperkenalkan dan menaikkan populariti serta rating sesebuah program. 

Apabila ia tular dan diperkatakan dari setiap sudut, secara tidak langsung memberi publisiti percuma terhadap sesetengah program yang mungkin sebelum ini agak ‘sendu’ jumlah tontonan. 

Dalam hal ini, umpan yang digunakan stesen televisyen mengena, terutama apabila berjaya memainkan emosi penonton yang turut melampiaskan kemarahan dan mempertahankan peserta kegemaran. 

Budaya menjatuhkan maruah dan air muka peserta dengan komen berbisa serta keterlaluan bagaikan sudah sebati hingga mencetuskan persoalan, mengapa perlu semua produksi program realiti dibentuk mengikut acuan sama? 

Insiden terbaharu membabitkan penyanyi dangdut sensasi, Mas Idayu turut menuai kemarahan ramai apabila melontarkan kritikan pedas terhadap persembahan Sissy Imann dan Naim Daniel ketika membawakan lagu Jampi dalam versi keroncong di pentas Famili Duo, Ahad lalu. 

Pendekatan yang diambil Mas Idayu itu mencetuskan polemik tersendiri. Tidak hanya mencetuskan ketidakpuasan hati penonton, penggiat seni juga tidak bersetuju dengan cara tersebut. 

Malah, mereka menggesa segala bentuk kritikan yang memalukan peserta perlu segera dihentikan kerana ia tidak membantu, sebaliknya merosakkan lagi reputasi industri seni. 

Meskipun segelintir penonton senada dengan Mas Idayu, hakikatnya lebih ramai bersimpati dengan Sissy yang ternyata begitu terkesan dengan komen diberikan hingga nekad membatalkan majlis pelancaran album sulungnya, bulan depan. 

Tidak adil untuk menyalahkan Mas Idayu sepenuhnya kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya apabila dipilih menduduki kerusi juri profesional. 

Dalam hal ini, produksi juga perlu bertanggungjawab kerana mereka berkuasa menentukan hala tuju sesebuah program. 

Seperkara perlu diingat, malah sudah acap kali dibangkitkan, penonton seharusnya dididik untuk meraikan perbezaan dan kepelbagaian bakat yang ada di negara ini. 

Seharusnya peserta diberikan ruang mengetengahkan keunikan, dan kreativiti yang mereka ada. 

Stesen televisyen tidak sepatutnya memaksa peserta ini untuk menjadi penyanyi versatil kerana keajaiban diharapkan itu tidak akan berlaku sekelip mata. 

Sudah tiba masanya elemen drama memualkan seperti ini dihentikan. Lebih baik memberi fokus bagaimana untuk menaikkan semangat dan mempertingkatkan kualiti anak seni daripada ‘menjual’ elemen drama murahan hingga usaha serta kreativiti dicurahkan sia-sia kerana ditenggelami kontroversi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya