KUALA LUMPUR: “Saya harap keputusan (berkahwin dengan Ira Kazar) ini dirahmati dan diberkati Allah, sekali gus menghentikan segala fitnah yang timbul sebelum ini”.
Itu luahan pengarah, Syamsul Yusof selepas membuat pengakuan sudah bernikah dengan wanita pilihannya, Ira Kazar, semalam.
Dalam perkongsian yang dibuat menerusi Instagram itu, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu turut memohon maaf kepada ahli keluarga, termasuk ibu bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail, yang turut terheret dalam rentetan kemelut rumah tangganya.
“Saya tidak mahu membelakangkan sesiapa, termasuk keluarga. Saya harap doa yang baik-baik daripada mereka. Saya tidak sempurna, malah membuat kesilapan. Jadi, doakan yang baik-baik.
“Saya mahu jalani hidup dengan tenang dan dalam keadaan reda. Saya hanya bergantung kepada Allah Yang Satu. Apa yang penting, saya harapkan semua ini dapat mengelakkan sebarang fitnah,” kongsinya.
Sekian lama diasak dengan spekulasi kononnya sudah bernikah buat kali kedua, Syamsul menamatkan segala teka-teki apabila mengesahkan sudah menjadi suami kepada anak pelakon, Kazar Saisi itu pada majlis pernikahan yang diadakan di Thailand.
“Alhamdulillah, saya telah bernikah secara sah dengan Ira, berwalikan bapanya di Thailand.
“Pernikahan kami telah didaftarkan dan ia dilakukan di sini untuk memudahkan beberapa perkara.
“Pada penghujungnya, saya kena letakkan noktah tentang hal rumah tangga yang tidak sepatutnya saya kongsikan di media sosial,” katanya.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana memuncak selepas pelakon itu mendedahkan mengenai kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.
Enggan membiarkan perkara itu berlarutan, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira, Jun lalu.
Syamsul dan Ira, sebelum ini mengambil pendekatan mengunci mulut tentang hubungan mereka dan sering mengelak apabila ditanya mengenai perkara itu.
Dalam perkongsian sama, Syamsul turut memohon Puteri Sarah supaya menghentikan tindakannya membuka cerita rumah tangga mereka kepada umum dan segera kembali ke pangkuannya untuk meleraikan konflik yang tercetus.
“Puteri Sarah masih isteri saya. Saya harap dia pulang ke rumah, bawa anak-anak untuk selesaikan isu rumah tangga kami. Saya masih suaminya.
“Saya mahu ketenangan dan ambil jalan berbincang. Sampai bila kita mahu mengaibkan satu sama lain? Sudah-sudahlah,” jelasnya. – UTUSAN