Golf: Tun Ghafar Cup terima sambutan luar biasa

Golf: Tun Ghafar Cup terima sambutan luar biasa

TAMRIN Abdul Ghafar bergambar bersama trofi Tun Ghafar Cup yang bakal menjadi rebutan 120 pemain pada 18 Februari depan di Kelab Rahman Putra Malaysia, Sungai Buloh, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Tun Ghafar Cup yang bakal berlangsung pada 18 Februari depan di Kelab Rahman Putra Malaysia (KRPM), Sungai Buloh, Selangor, menerima sambutan luar biasa daripada pemain-pemain golf tempatan.

Kejohanan yang julung kali bakal diadakan itu bertujuan mengenang jasa Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba terhadap pembangunan negara dan juga sumbangan Allahyarham dalam perkembangan industri golf pada era 80-an.

Menurut anak Allahyarham, Datuk Tamrin Abdul Ghafar, cetusan idea untuk menganjurkan kejohanan Tun Ghafar Cup bermula sewaktu beliau bertemu dengan pemilik The Mines Resort, Tan Sri Lim Kim Yew baru-baru ini.

Katanya, dalam pertemuan itu, Kim Yew mencadangkan supaya diadakan satu kejohanan golf bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Ghafar dan tarikh yang dipilih adalah tanggal 18 Februari bersempena tarikh kelahiran Allahyarham.

“Tan Sri Lim Kim Yew memberi cadangan itu kerana beliau dan Allahyarham adalah kawan baik dan mereka sangat rapat. Jadi saya menyambut baik cadangan itu dan bersetuju untuk mengadakan kejohanan golf pada tarikh 18 Februari depan.

Kejohanan Tun Ghafar Cup adalah bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba terhadap pembangunan negara dan sukan golf pada era 80-an. – Tamrin Abdul Ghafar

“Pada awalnya saya merancang untuk mengadakan kejohanan ini di Ayer Keroh Golf & Country Club, Melaka tempat di mana padang golf itu yang direka oleh Allahyarham.

“Tetapi apabila difikirkan kembali, Allahyarham telah merekacipta tiga padang golf selain Ayer Keroh Country Club (Ayer Keroh, Melaka), dua lagi ialah Kelab Rahman Putra Malaysia (Sungai Buloh, Selangor) dan Perangsang Templer Golf & Country Club (Rawang, Selangor) yang kini sudah tutup.

“Akhirnya saya memutuskan untuk mengadakan kejohanan Tun Ghafar Cup di Kelab Rahman Putra Malaysia yang direka cipta oleh Allahyarham dan dibuka pada tahun 1987,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Golfer Dock, Taman Dagang, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Tamrin, bagi menjayakan kejohanan sulung itu, beliau menjalinkan kerjasama dengan Rasshi Mahmud, pemilik Golfer Dock yang berpengalaman luas dalam bidang penganjuran kejohanan golf selain mempunyai rangkaian industri golf tempatan dan juga luar negara.

Katanya, ini terbukti apabila tidak sampai tiga minggu penyertaan kejohanan Tun Ghafar Cup diwar-warkan dalam media sosial, seramai 120 peserta sudah mengesahkan menyertai kejohanan itu, malah terdapat ramai lagi yang disenaraikan dalam kategori ‘senarai menunggu’. 

Selain berterima kasih kepada Golfer Dock, Tamrin juga turut menghargai para penaja seperti DRB Hicom, Concorde Hotel, Golfer Dock, Asian Pax, KBS, Genting Malaysia, Kebun Rimba, Jamumall.com, Vega, Indi dan GreenLine Ventures (Organizer).

Kejohanan Tun Ghafar Cup ini menggunakan format Stableford System 36 – Kategori A, B, C dan Gross, dan pemain yang berjaya melakukan Hole In One bakal membawa pulang sebuah Proton X70 sumbangan DRB Hicom.

Bagi memeriahkan kejohanan sulung itu, pihak penganjur kejohanan juga turut menyediakan kira-kira 52 hadiah untuk cabutan bertuah berupa barangan golf, penginapan di Genting Highland dan Taman Rimba di Janda Baik, Pahang dan lain-lain.

Sementara pemenang bagi Grand Lucky Draw pula bakal membawa pulang set iron Vega sumbangan Golfer Dock.

Sebagai penghargaan dan mengenang jasa Allahyarham Tun Ghafar, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dijangka hadir pada majlis penyampaian hadiah dan makan tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya