ARAU: Gelombang Perikatan Nasional (PN) dijangka berterusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan mampu menawan Selangor dan Negeri Sembilan termasuk mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sokongan terhadap PN semakin meningkat termasuk dalam kalangan masyarakat Cina selain orang Melayu dan pengundi muda dijangka kekal bersama gabungan itu.
Malah katanya, keputusan UMNO tidak mempertanding dua jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan akan datang turut memberi kelebihan kepada PN selepas rakyat dilihat tidak berpuas hati dengan langkah tersebut.

“Insya-Allah gelombang PN akan berterusan sehingga PRN termasuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Selain mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, kita yakin mampu menawan Selangor dan Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH).
“Untuk merealisasikan hasrat itu, kita akan terus bekerja keras dan selebihnya terserah kepada ketentuan Allah SWT. Rakyat sekarang semakin faham dan terus bersama PN,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjangkakan Selangor akan kekal menjadi milik PH pada PRN akan datang berdasarkan penerimaan baik pengundi PH pada idea Kerajaan Perpaduan.
Rafizi dilaporkan berkata, berdasarkan data yang sedia ada dan akan ditambah baik pada enam bulan mendatang mendapati kerajaan PH Selangor mampu mengekalkan kemenangan 40 kerusi sedia ada dan berkemungkinan boleh memenangi 45 hingga 47 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) daripada 56 kerusi keseluruhan.
Dalam PRU15, PN berjaya mencetus gelombang apabila memenangi 73 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, Pas memenangi sebanyak 43 kerusi Parlimen manakala sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 30 kerusi.
Daripada hanya 18 kerusi pada PRU14, Pas kini memiliki 43 kerusi iaitu yang terbanyak oleh satu-satu parti di Parlimen pada PRU15.
Pas bukan hanya memiliki kerusi terbanyak di Parlimen malah menguasai empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Di tiga negeri iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu, Pas sebagai teraju utama PN menyapu bersih semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Sementara itu, Hashim berkata, sokongan masyarakat Cina terhadap PN selepas mereka kecewa PH yang sebelum ini berdegar-degar menentang rasuah namun bekerjasama dengan pemimpin yang terkait dengan isu berkenaan.
Selain itu katanya, sokongan orang muda terhadap PN juga semakin kuat dan perkara itu terbukti dalam PRU15.
“Insya-Allah momentum sokongan itu dapat dikekalkan menjelang PRN dijangka dalam tempoh terdekat ini,” katanya. – UTUSAN










