Gangguan air jejas peniaga kecil

Gangguan air jejas peniaga kecil

GANGGUAN bekalan air menyebabkan pelbagai sektor terkesan termasuk peniaga kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pencemaran air sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan bukan sahaja menjejaskan pengguna domestik, malah memberi kesan kepada perusahaan besar dan peniaga kecil.

Gangguan tersebut boleh menjejaskan operasi harian dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada pengusaha industri makanan serta minuman termasuk peniaga kecil apabila berlaku gangguan bekalan air yang menjadi sumber produktiviti mereka.

Pelbagai sektor tidak terkecuali terkesan termasuk pengusaha kilang pemprosesan air dan makanan, namun paling terjejas adalah peniaga kecil yang bergantung kepada pendapatan harian.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, gangguan bekalan air dalam tempoh singkat mungkin tidak menjejaskan pemain-pemain industri besar, bagaimanapun situasi itu pastinya tidak menyebelahi peniaga kecil.

“Pendapatan perniagaan seorang peniaga kecil dalam pelbagai sektor adalah kira-kira RM300 sehari. Jika mereka terputus bekalan air sudah pasti tidak dapat beroperasi dan itulah jumlah pendapatan paling rendah yang mereka hilang. Jutaan ringgit rugi apabila melibatkan keseluruhan peniaga di Lembah Klang sahaja.

“Bekalan air bukan sahaja diperlukan peniaga dalam sektor makanan atau minuman tersedia. Mereka yang menjual di pasar seperti ayam dan ikan mentah, sayur serta barangan makanan lain juga memerlukan bekalan air. Jika terputus, perniagaan mereka juga terjejas,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Terdahulu, kira-kira dua juta pengguna terputus bekalan air pada Sabtu hingga Isnin lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti operasi selepas berlaku pencemaran di Sungai Limau Manis akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kemalangan tersebut melibatkan tumpahan pati minyak wangi yang masuk ke dalam longkang sebelum mengalir ke anak sungai itu yang bersambung dengan Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, Rosli menyarankan supaya pengguna lebih berhemah ketika menggunakan air dan semua pihak perlu bersama-sama memastikan sumber asas itu terpelihara daripada sebarang ancaman pencemaran.

“Bila berlaku situasi terputus bekalan air, memang menyukarkan semua orang. Bila terputus bekalan bukan sahaja tak dapat air, tetapi ada orang yang terjejas pendapatan khususnya peniaga kecil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya