Diugut selepas maki lewat hantar bekerja - Utusan Malaysia

Diugut selepas maki lewat hantar bekerja

CHA HOONG FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Akibat memaki kerana lewat dihantar bekerja, seorang operator kilang diugut lima lelaki termasuk rakan serumahnya sendiri dengan besi di sekitar Bandar Bukit Tinggi 1 di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki termasuk pemandu van yang mengugut mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika kejadian lelaki tempatan berusia 29 tahun itu berada bersendirian di sebuah bilik di rumah sebelum didatangi lima lelaki yang bertindak membuka pintu bilik dengan agresif termasuk seorang yang bersenjatakan besi.

“Mangsa yang cuba dipukul bagaimanapun sempat menolak suspek keluar dari bilik tersebut.

“Dia kemudian segera mengunci pintu dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas Hoong Fong, hasil maklumat pihaknya membawa kepada serbuan di lokasi kejadian pukul 1.35 pagi.

“Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 26 tahun yang juga rakan serumah mangsa ditahan bagi membantu siasatan. Tiga lagi rakan suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri,” ujarnya 

Beliau berkata, kejadian berpunca suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengeluarkan perkataan kurang sopan kerana lewat menghantarnya ke tempat kerja sebelum kejadian itu.

“Siasatan mendapati suspek merupakan pemandu van kilang yang ditugaskan untuk mengambil dan  menghantar pekerja kilang termasuk mangsa. Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” jelasnya.

Tambah Hoong Fong, polis turut merampas sebatang besi dan dua suspek direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya