fbpx

‘Bot arwah bapa berjasa selamatkan penduduk’

IZZUL Imanuddin Ishak berada di bot peninggalan arwah ayahnya yang dapat diselamatkan ketika banjir di Kampung Tekam, Segamat, Johor.

SEGAMAT: Tiada apa yang lebih bernilai untuk diselamatkan dalam musim banjir selain harta peninggalan insan tersayang yang telah ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Begitulah pengalaman banjir yang dikongsi Izzul Imanuddin Ishak, 30, apabila dia sedaya upaya menyelamatkan dua bot peninggalan arwah bapanya yang diletakkan di Jeti Nelayan Kampung Tekam, di sini.

“Bapa saya meninggal dunia pada 8 Disember 2021. Setiap kali musim banjir, arwah ayah memastikan botnya dibawa naik dari jeti untuk persediaan kegunaan sewaktu banjir untuk keluarga dan penduduk kampung.

“Tetapi sejak tahun lalu sangat berbeza. Tanpa kehadiran ayah, saya gagahkan diri membawa naik dua bot itu ke rumah bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Izzul Imanuddin yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik kehilangan bapanya, Ishak Auyok, 63, apabila warga emas itu mendapat serangan jantung sewaktu mengangkat lukah di Sungai Tekam pada Disember 2021.

Sewaktu kejadian, Ishak sedang berada di dalam air sedang mengangkat lukah, secara tiba-tiba terkena serangan jantung tetapi dengan kudrat yang ada dia sempat mengemudi bot kembali ke darat serta dibantu orang ramai dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Izzul Imanuddin berkata, setiap kali banjir, arwah bapanya paling ‘sibuk’ dengan menggunakan botnya membantu orang kampung yang perlu berpindah dan memerlukan bantuan.

“Arwah ayah memang nelayan sungai sejak saya kecil dan kami adik-beradik membesar dengan hasil titik peluhnya. Nelayan dan sungai sudah menjadi sebati dengan jiwanya,” katanya dalam nada sayu.

Dia yang merupakan seorang Penolong Pegawai Perubatan di Gemas berkata, kenangan yang paling tidak dapat dilupakan bersama arwah bapanya adalah sesat di sungai sewaktu banjir besar 2006.

Dia yang menaiki bot bersama arwah bapanya tidak menemukan jalan pulang ke Kampung Tekam apabila hari semakin gelap.

“Kami tidak sempat bawa lampu suluh semasa turun ke sungai pada hari kejadian, hanya dengan bantuan cahaya bulan. Saya dan arwah ayah mendayung di gigi air. Kami terpaksa menumpang tidur di sebuah rumah penduduk kampung di Pogoh sebelum kembali semula ke Tekam keesokan harinya dengan bot menyusuri sungai,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN