Beruang gali kubur, makan mayat

Beruang gali kubur, makan mayat

KAWASAN tanah perkuburan yang dimusnahkan oleh seekor beruang di Kampung Dakoh, Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG:  Lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Dakoh, Pos Balar di sini mendakwa seekor beruang dewasa menggali kubur dan memakan mayat Orang Asli sejak dua minggu lalu.

Dakwa penduduk, kejadian pada 27 Disember lalu menyebabkan sebahagian tubuh badan seorang wanita iaitu Amek Along, 48, yang meninggal dunia lebih sebulan lalu dimakan haiwan berkenaan.

Suami Amek, Mazlan Aluij, 50, berkata, dia mula menyedari kejadian itu pada 26 Disember lalu selepas melihat kubur mendiang isterinya mula digali haiwan liar itu sekitar pukul 9.20 pagi.

Menurutnya, mendiang isteri meninggal dunia pada 1 Disember lalu selepas terkena serangan angin ahmar di Hospital Gua Musang sebelum dikebumikan di kawasan Perkuburan Kampung Dakoh, Pos Balar pada hari sama.

“Sebelum kejadian, menjadi rutin saya dan lima anak melawat dan membersihkan kubur mendiang isteri yang terletak 300 meter daripada rumah.

“Namun, pada 26 Disember lalu, saya bersama anak datang untuk membersihkan kubur seperti biasa dan melihat ada kesan tapak kaki serta najis beruang di kawasan kubur isteri,” katanya semalam.

Mazlan memberitahu, keesokan hari pula, dia bersama anak dan penduduk kampung telah kembali dan memeriksa kawasan sekitar kubur berkenaan.

Katanya, mereka terkejut kerana melihat cebisan anggota badan mendiang isteri yang dipercayai sudah dimakan beruang dan harta benda isteri yang diletakkan di kawasan kubur itu turut dirosakkan.

“Kami yakin beruang itu masih berkeliaran di kawasan kampung dan baru-baru ini haiwan itu hampir menyerang anjing peliharaan saya,” katanya.

“Menurut adat kaum Temiar, mayat tersebut tidak boleh dialihkan dan hanya dibiarkan di kawasan tersebut sahaja,” ujarnya.

Mazlan berkata, laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dibuat bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil.

Katanya, pada masa sama dia turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang atas faktor keselamatan penduduk di kawasan berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.