Bersikap adil terhadap pegawai farmasi kontrak

Bersikap adil terhadap pegawai farmasi kontrak

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) harus bersikap adil terhadap pegawai farmasi kontrak dengan memberi peluang yang sama rata dalam temu duga untuk diserap ke jawatan tetap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, walaupun terdapat pegawai farmasi kontrak yang gagal dalam temu duga lepas, mereka wajar diberi peluang menghadirinya semula.

“Persoalan dapat atau tidak adalah perkara kedua, yang penting semua yang berhasrat untuk menghadiri temu duga harus diberi peluang terutama lepasan 2016 dan 2017 yang belum mendapat jawatan tetap.

“Pada masa sama, KKM harus memberitahu kriteria yang dimahukan mereka bagi jawatan tetap ini kerana temu duga dilaksanakan di peringkat kementerian dan bukan penyelia hospital masing-masing.

“Pegawai farmasi kontrak tidak berpuas hati kerana doktor perubatan dan doktor gigi diberi peluang untuk menghadiri temu duga berulang kali tetapi bukan mereka,” katanya semalam.

Terdahulu, Gerakan Hartal Farmasi Kontrak mempersoal tatacara KKM menilai kemahiran pegawai farmasi kontrak untuk diserap ke jawatan tetap apabila dikendalikan dalam kalangan penemu duga yang tidak memahami bidang tersebut.

Ahli gerakan itu mendakwa, temu duga yang dikendalikan tidak melibatkan pegawai perubatan atasan yang mengenali pegawai kontrak terbabit dan memahami bidang tugas itu, sebaliknya melibatkan agensi lain yang tidak mengetahui ruang lingkup bidang berkenaan.

Amrahi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut memainkan peranan dalam isu ini kerana arahan pelantikan dan temu duga yang disampaikan oleh KKM diterima daripada mereka.

“JPA bersama KKM harus mengkaji dahulu keperluan sebenar pegawai farmasi yang diperlukan dalam sektor awam kini supaya mereka sedar dan tahu langkah yang harus diambil bagi masa depan masing-masing.

“Kita faham bahawa bukan semua pegawai kontrak farmasi boleh diserapkan menjadi tetap serta isu gred disoalkan juga. Sebab itu, KKM harus kaji keperluan sedia ada.

“Pada masa yang sama, banyak lagi peluang kerjaya bagi pegawai kontrak farmasi di sektor swasta, sebagai contoh di bahagian formulasi, pengeluaran, kualiti dan farmaseutikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN