Berjalan di tengah laut tarikan di Pangkor - Utusan Malaysia

Berjalan di tengah laut tarikan di Pangkor

ANGGOTA bomba melakukan pengawasan terhadap pengunjung yang berjalan kaki ke Pulau Giam semasa fenomena air surut di Pulau Pangkor, hari ini. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Fenomena air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam, terus menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Pangkor.

Kejadian air surut yang terjadi beberapa hari dalam setahun itu berlaku hari ini menyaksikan pengunjung berpusu-pusu mengambil kesempatan merasai suasana berjalan kaki di tengah laut ke Pulau Giam pada jarak kira-kira 400 meter.

Orang ramai mulai menyeberangi lautan kira-kira pukul 10 pagi iaitu ketika air laut berada pada paras 0.01 meter dan memperlihatkan beting pasir selebar kira-kira satu meter seolah-olah seperti jambatan yang menghubungkan kawasan pantai menuju ke pulau tersebut.

Difahamkan, paras air surut paling rendah tahun ini berlaku selama dua hari iaitu hari ini dan esok iaitu pada paras buku lali orang dewasa untuk tempoh masa kurang dua jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludi berkata, beliau bersama 11 anggota bomba bertugas mengawasi keadaan itu di laut dan di darat dibantu beberapa agensi lain termasuk Persatuan Rekreasi Pangkor atau lebih dikenali sebagai ‘beach boy’.

Jelasnya, pasukan itu melakukan pengawasan di lokasi tersebut sejak semalam sehingga Rabu ini iaitu tempoh air laut surut dalam beberapa masa tertentu, bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Bilangan pengunjung yang menyeberangi ke Pulau Giam hari ini didapati lebih ramai berbanding tahun lalu, justeru pihak kami mengambil langkah lebih berwaspada dalam aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dengan keadaan cuaca yang mendung dan hujan yang mulai turun, pihaknya telah mengarahkan pengunjung untuk segera kembali ke pantai lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Jelasnya, tiada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang fenomena tersebut dengan orang ramai mematuhi setiap arahan ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan program kesedaran aktiviti di air seperti mengedarkan risalah berkaitan keselamatan di air dan memberi khidmat nasihat kepada pengunjung mengenai kepentingan memakai jaket keselamatan ketika berjalan kaki ke Pulau Giam.

Menurut beliau, pihaknya turut mempromosikan kotak LiSA (Live Saving Appliance) kepada para pengunjung mengenai peralatan-peralatan yang dibekalkan oleh pasukan itu dalam memberi pertolongan awal kepada mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Sepanjang tempoh pengawasan, pasukan kami meletakkan Unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dalam keadaan bersedia bagi memberi rawatan awal kepada pengunjung sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Unit Pasukan Menyelamat di Air (PPDA) pula membuat pemantauan menggunakan bot penyelamat sebelum air mulai surut dan air mula pasang dan akan bertindak awal sekiranya berlaku mangsa yang lemas semasa berada di Pulau Giam,” ujar beliau.

Pengawasan rapi dilakukan kerana kejadian air surut itu hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu kurang dua jam menyebabkan ada yang lemas ketika berjalan semasa air pasang semula atau terperangkap di Pulau Giam yang berkeluasan 2.1 hektar itu.

Pada 2020, seorang remaja berusia 17 tahun lemas apabila terperangkap di tengah laut selepas air mulai pasang ketika berjalan pulang dari Pulau Giam manakala pada 2018, seorang lelaki lemas ketika berenang ke pulau tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN