TELUK INTAN: Sepasang suami isteri di Kampung Bahagia di sini merayu sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan dan keperluan harian bayi perempuan mereka yang berusia lapan bulan yang menghidap sakit jantung berlubang dan masalah paru-paru.
Nurul Naira Media Mohamad Azri Fakhri hanya terlantar di rumah akibat penyakit tersebut yang dikesan sejak berusia empat bulan.
Ibu bayi berkenaan, Nurul Azura Bakarudin, 28, berkata, anaknya yang sakit itu merupakan anak kedua selepas doktor mengesahkan Nurul Naira menghidap sakit jantung berlubang dan masalah paru-paru ketika berusia empat bulan.
Menurutnya, tanda-tanda awal anaknya menghidap penyakit itu ialah berat badannya tidak naik selain sukar untuk menelan susu dan makanan yang diberi.
“Berikutan keadaannya yang sukar menelan, bayi saya terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu namun kesihatannya tidak berubah.
“Bayi saya pernah dirawat selama 14 hari di hospital Teluk Intan namun tiada perubahan. Kami bimbang penyakit ini akan menyebabkan kesihatan bayi kami semakin terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, masalah paru-paru yang dihidapi bayinya itu menyebabkan bayinya amat sensitif terhadap suasana persekitaran terutama jika paras oksigen rendah.
Katanya, menurut doktor, kemungkinan bayinya perlu bernafas menggunakan bantuan pernafasan oksigen.
“Jika menggunakan pernafasan oksigen, ini sudah tentunya melibatkan kos kerana peralatannya perlu disewa iaitu kira-kira RM350 sebulan untuk digunakan di rumah.
“Selain itu, susu yang sesuai untuk bayi ialah ialah jenis Enfalac yang berharga RM52, paling lama empat hari sudah habis,” katanya.
Menurutnya, pendapatan dia dan suaminya, Mohamad Azri Fakhri Mohamad Fauzi, 26, sebagai peniaga makanan tidak menentu.
Katanya, sebelum ini mereka berniaga jual nasi lemak tapi kami terpaksa berhenti kerana kos bahan mentah yang mahal.
“Sekarang saya berniaga tomyam dan bakso di tepi jalan, pendapatannya tidak menentu apatah lagi kami menyewa rumah RM450 sebulan,” katanya.
Sehubungan itu, pasangan suami isteri itu merayu sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan dan perbelanjaan keperluan anak mereka.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB atas nama Mohamad Azri Fakhri iaitu 7065951779 atau menghubunginya di talian 017-808 3029. – UTUSAN