PETALING JAYA : Empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan projek-projek menerusi satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 38 hingga 65 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya petang semalam ketika hadir memberi keterangan.
Kata sumber tersebut, mereka terdiri daripada masing-masing seorang pengarah urusan dan pengurus besar daripada dua syarikat berbeza manakala dua lagi ialah pengarah syarikat daripada syarikat sama.
Katanya, seorang suspek berusia 65 tahun yang dikatakan telah bertindak sebagai orang tengah dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat tersebut dengan dibantu oleh seorang lagi suspek iaitu pengurus besar.
“Orang tengah terlibat dipercayai telah meminta sebanyak tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek di bawah program khas kerajaan tersebut.
“Projek tersebut merupakan projek membina dan menaik taraf jalan di Selatan tanah air,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha binti Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama enam hari bermula 11 Januari sehingga 16 Januari 2023 selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Tan Kang Sai mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. –UTUSAN









