4.5 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina

4.5 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina

PENINGKATAN kenderaan dijangka berlaku di empat lebuh raya bermula Jumaat ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang Jumaat hingga 24 Januari ini, dianggarkan antara 3.8 juta sehingga 4.5 juta kenderaan berada di semua rangkaian lebuh raya untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tahun Baharu Cina disambut pada 22 dan 23 Januari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberitahu Utusan Malaysia, empat lebuh raya yang dijangka mengalami peningkatan kenderaan ialah Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 serta 2 dalam tempoh tersebut.

Jurucakap itu berkata, sebanyak dua juta kenderaan sehari akan melalui PLUS diikuti 170,000 kenderaan menggunakan Lebuh Raya KL-Karak selain LPT1 (73,000 kenderaan) dan LPT2 (50,000 kenderaan).

“Peningkatan purata 20 sehingga 100 peratus daripada trafik harian biasa.

“Bagi menguruskan lonjakan trafik kali ini, orang ramai diingatkan supaya merancang perjalanan mereka agar menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya,” katanya di sini, semalam.

Menurut jurucakap itu, LLM dalam tindakan mengenal pasti lokasi-lokasi panas berlakunya kemalangan jalan raya di seluruh negara.

“Lokasi ‘hotspot’ untuk tahun ini dalam tindakan untuk dianalisis sebelum dimaklumkan kepada semua,” jelasnya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia mengenal pasti sebanyak 30 lokasi ‘hot spot’ membabitkan kesesakan dan kemalangan jalan raya di semua lebuh raya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laluan itu membabitkan lebuh raya utama di seluruh negara termasuk PLUS dan LPT.

Berikutan itu, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menempatkan keanggotaan secara statik berdasarkan penilaian keadaan lalu lintas bagi memantau aliran kenderaan di kesemua lokasi itu.

Dalam pada itu, sebanyak enam kesalahan utama dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan dan menjadi fokus Op Selamat.

Enam kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

PDRM akan menumpukan perhatian khusus kepada kesalahan itu selain pengguna jalan raya yang didapati ingkar dan berterusan melakukan kesalahan akan diambil tindakan.

Dalam pada itu, seramai 6,559 pegawai dan anggota termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan sepanjang Op Selamat yang bermula dari 18 hingga 27 Januari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN