300 set bubu naga dirampas

300 set bubu naga dirampas

SEBAHAGIAN bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia dalam operasi khas di perairan negeri ini di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan komuniti nelayan berjaya merampas sebanyak 300 set bubu kambang atau turut dikenali bubu naga di sepanjang perairan Pantai Murni hingga ke Tanjung Dawai, awal pagi semalam.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir, operasi khas itu dilaksanakan berikutan aduan awam yang kerap diterima pihaknya kebelakangan ini.

Katanya, kesemua bubu kambang itu dirampas di 10 lokasi sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni di Yan hingga perairan Tanjung Dawai, Merbok.

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang kayu yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM 36,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini dengan perkara itu perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib.

“Jika mengharapkan rampasan di laut semata-mata, tindakan itu tidak akan memberi kesan memandangkan bubu kambang masih boleh dibeli di pasaran dengan harga murah termasuk secara dalam talian,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti diperuntukan undang-undang.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

“Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian kecemasan 999 atau 04-7310579 untuk maklum balas segera,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.