24 lampu LED biru dipasang usir beruang di Gua Musang

24 lampu LED biru dipasang usir beruang di Gua Musang

PETUGAS Perhilitan memasang lampu LED berwarna biru di Kampung Dakoh, Kelantan yang tular kerana diancam oleh kehadiran beruang. - GAMBAR IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 24 unit lampu berwarna biru jenis ‘light-emitting diode’ dipasang bagi mengekang kehadiran beruang di satu penempatan Orang Asli terpencil di Kelantan.

Menurut hantaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi laman sosialnya, lampu berkenaan diagihkan kepada para penduduk terbabit susulan ancaman beruang matahari yang menggali kubur dan memakan mayat wanita Orang Asli di Kampung Dakoh, Pos Balar, Jajahan Gua Musang pada akhir bulan lepas.

Mamalia liar itu kemudian dilaporkan telah muncul sekali lagi pada Selasa lalu di lokaliti berkenaan sehingga mencemaskan lebih 100 penduduk dari suku kaum Temiar tersebut.

“Perhilitan sudah melakukan beberapa inisiatif antaranya sesi perbincangan dan khidmat nasihat bersama komuniti ini selepas berita mengenai kes itu tular disiarkan,” katanya.

Aduan mengenai ancaman binatang buas berkenaan turut dimaklumkan suami mangsa itu selain laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang atas faktor keselamatan.

Perjalanan ke lokasi kejadian itu ujarnya, mengambil masa tujuh jam disebabkan bentuk geografi dan corak muka bumi tidak rata serta perlu menyeberangi aliran sungai deras.

Penggunaan lampu yang berwarna biru tidak asing di luar negara dan diperakui para penyelidik Universiti Oxford di Britain bagi mengusir haiwan nokturnal atau aktif waktu malam.

Di negara-negara maju, kaedah berkenaan amat popular digunakan pihak berkuasa tempatan menghalau tikus mondok dalam bandar yang suka berkeliaran mencari makanan.

Mengulas lanjut, Perhilitan berkata, operasi bersepadu itu melibatkan stafnya termasuk petugas veterinar di Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli di jajahan berkenaan.

“Pihak kami turut membuat pemantauan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan kejadian selain memasang 24 unit lampu jenis LED yang berwarna biru,” tambahnya lagi.

Para penduduk terbabit turut diingatkan supaya segera bertindak menghubungi pejabat Perhilitan yang berhampiran sekiranya berlaku kehadiran hidupan liar di kampung itu.

Beruang matahari atau nama saintifiknya, Ursus malayanus, juga disebut beruang madu, dilindungi sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dengan berat kurang 70 kilogram dan tinggi di bawah 70 sentimeter, jenis beruang ini ialah ahli keluarga terkecil dalam keluarga beruang atau pengelasan saintifiknya, Ursidae.

Ia lazim ditemui berkeliaran di hutan Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak serta Kalimantan dan Sumatera, Indonesia di samping Kemboja, Thailand dan Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya