Beruang matahari ditangkap guna kaedah pelali - Utusan Malaysia

Beruang matahari ditangkap guna kaedah pelali

BERUANG matahari jantan yang berjaya ditangkap Perhilitan Terengganu dalam satu operasi di Kampung Jati, Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor beruang matahari jantan dalam satu operasi di Kampung Jati dekat Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini, malam tadi.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, beruang matahari itu dipercayai adalah beruang yang sama dalam video-video yang tular di media sosial yang sesat di sekitar Kuala Terengganu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, seramai lapan anggota Perhilitan negeri dan dari daerah Kuala Terengganu terlibat dalam operasi itu.

“Pada pukul 12.50 tengah malam, beruang itu berjaya ditangkap menggunakan kaedah pelali.

“Hasil pemeriksaan awal, kita percaya ini adalah beruang yang sama dengan beruang tular berdasarkan beberapa ciri pada beruang tersebut kerana mempunyai parut dan bengkak di bahagian belakang badannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Setakat ini, Perhilitan Terengganu ada menerima aduan daripada penduduk sekitar Kampung Hutan Banau, Sungai Derhaka, Sungai Rengas, Kuala Bekah, Pulau Musang, Pulau Rusa, Paloh Sungai Kiat, Losong, Bukit Tumboh dan Taman Desa Wakaf Baru mengenai kehadiran beruang yang dipercayai sesat dari hutan berhampiran.

Tambahnya, beruang seberat 90 kilogram itu akan dilepaskan ke hutan simpan yang sesuai dengan kemandirian haiwan tersebut.

“Kita tidak pasang perangkap kerana beruang itu sentiasa bergerak dan tidak merayau setempat.

“Perhilitan Terengganu juga berterima kasih terhadap orang awam yang sentiasa prihatin dan membuat aduan mengenai beruang ini hingga berjaya menemuinya dalam keadaan selamat,” katanya.

Orang ramai juga boleh maklumkan sebarang penemuan haiwan liar melalui WhatsApp di talian hotline Perhilitan iaitu 011-6498 9551. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN