PETALING JAYA: Dianggarkan lebih 1,400 pelawat dari China masuk ke negara ini dalam tempoh sehari selepas kelonggaran sekatan perjalanan pelawat dari negara itu.
Jumlah itu diperoleh berdasarkan purata 14 penerbangan tiba dan keluar yang direkodkan dalam sehari membabitkan pergerakan pelawat dari China ke negara ini.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, daripada jumlah penerbangan yang direkodkan, sebanyak tujuh penerbangan adalah yang masuk ke negara ini manakala selebihnya merupakan perjalanan keluar dari Malaysia ke negara berkenaan.
“Jumlah pelawat boleh berubah mengikut kapasiti kapal terbang yang digunakan dengan satu penerbangan secara maksimum boleh memuatkan lebih 200 penumpang.
“Penerbangan dari negara China telah dikurangkan kepada 14 berbanding sebelum pandemik Covid-19 yang merekodkan 50 penerbangan sehari merangkumi 25 penerbangan masuk dan 25 penerbangan keluar,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, kemasukan pelawat asing diuruskan mengikut prosedur sedia ada.
Kata beliau, setiap pelawat mesti memenuhi syarat kemasukan pelancong seperti tiket pulang, kemudahan tempat tinggal dan perbelanjaan mencukupi.
“Bagi penerbangan dari China, JIM menyediakan laluan khas untuk mereka setibanya di sini. Jika ada gejala, mereka akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengekang sebarang kes penularan Covid-19,” jelasnya.
Utusan Malaysia difahamkan, pelawat dari China akan melalui ke kaunter 14 sehingga 17 bagi pemeriksaan lanjut.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan lawatan mengejut ke kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melihat sendiri prosedur kemasukan para pekerja asing.
Saifuddin juga sempat meninjau ketibaan pelawat dari negara China dan Hong Kong yang heboh diperkatakan dikhuatiri menyebabkan penyebaran jangkitan Covid 19, berikutan wabak berkenaan kembali menjadi ancaman di beberapa wilayah di China.
Mengenai kemasukan pelawat berkenaan, Saifuddin menegaskan, setakat ini prosedur kemasukan adalah ketat dan berkesan untuk menghindari sebarang kes wabak Covid daripada menjangkiti rakyat negara ini termasuk penggunaan kamera thermal bagi mengesan mereka yang demam.
Sebelum ini, Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, berikutan kelonggaran terkini oleh kerajaan China, ia menjangka peningkatan pergerakan penerbangan antarabangsa pada tahun ini.
Kenyataan itu menyebut, sejak pembukaan sempadan negara pada April tahun lalu, sudah ada penerbangan keluar masuk ke dan dari China, yang menyaksikan peningkatan kekerapan pada suku terakhir tahun lalu. – UTUSAN










