Zambry bertemu pemimpin Nahdlatul Ulama di Jakarta

Zambry bertemu pemimpin Nahdlatul Ulama di Jakarta

ZAMBRY Abdul Kadir bertemu dengan Yahya Cholil Staquf di ibu pejabat Nahdlatul Ulama di Jakarta, Indonesia.- GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkesempatan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Nahdlatul Ulama (NU) di ibu kota Indonesia.

Wisma Putra dalam kenyataan menerusi laman sosial rasminya memaklumkan, sesi berkenaan diadakan di ibu pejabat organisasi Islam tersebut di Jalan Kramat Raya, Jakarta hari ini.

“Beliau berpeluang untuk berjumpa sendiri dengan Ketua Umum NU, Kiyai Haji Yahya Cholil Staquf yang juga adalah pengerusi pertubuhan bukan kerajaan republik itu,” katanya.

Pertubuhan berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ditubuhkan pada 1926 lalu dengan ketika ini dianggarkan memiliki sejumlah 96 juta ahli tetap di seluruh Indonesia.

NU berperanan aktif menangkis penyebaran ajaran sesat berkaitan Islam di republik itu meliputi 37,125 cawangan dan 2,630 majlis wakil di setiap 31 wilayah negara berkenaan.

Ketika peringkat awal kewujudannya, ia pernah merupakan sebahagian Partai Majelis Syuro Muslimin atau Masyumi sejak 1952 sebelum bergerak secara bebas pada 1973 lalu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Zambry turut mengalu-alukan inisiatif NU dalam menganjurkan muktamar yang bertaraf antarabangsa di Surabaya pada tahun depan yang bakal disertai pelbagai ilmuwan Islam dari seluruh dunia itu membincangkan mengenai Fiqh al-Hadharah atau perundangan ketamadunan.

Beliau juga memberikan jaminan dengan menyatakan kesediaan ramai tokoh Islam dari Malaysia untuk hadir pada muktamar yang julung kali dikelolakan organisasi tersebut.

Terdahulu pada sebelah pagi, Zambry yang dalam rangka lawatan rasmi kali pertama ke Indonesia bertemu rakan sejawatnya, Retno Marsudi di Gedung Pancasila, Jakarta membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk melibatkan perbatasan sempadan maritim dan darat.

Wisma Putra menambah, turut disentuh ialah isu pengambilan dan perlindungan tenaga kerja untuk sektor pembantu rumah atau disebut sebagai Pekhidmat Domestik Indonesia.

“Mereka berdua juga meneliti potensi pelaburan Malaysia di ibu kota baharu republik itu, Nusantara yang bakal menggantikan peranan Jakarta sejak ratusan tahun lalu,” katanya.

Zambry dan Retno turut membincangkan isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama terutamanya situasi terkini krisis di Myanmar setelah meletus awal tahun lalu.

Lawatan sulung beliau setelah dilantik menjadi Menteri Luar pada 2 Disember lepas, juga sebagai persediaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.