Yayasan KRU, BBW anjur pertandingan baca buku secara maya

Yayasan KRU, BBW anjur pertandingan baca buku secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Bagi menggalakkan minat membaca, terutama dalam kalangan kanak-kanak, Yayasan KRU menjalin kerjasama dengan Big Bad Wolf Books (BBW) menganjurkan pertandingan membaca buku secara maya sebagai acara tahunan di peringkat negeri.

Presiden Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pertandingan yang dijalankan dwibahasa itu akan dianjurkan secara fizikal pada acara kemuncak majlis anugerah peringkat kebangsaan, Disember tahun depan.

Menurutnya, program tersebut merupakan antara aktiviti yang disusun menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Red Readerhood bersama pihak BBW.

Jelasnya, pihaknya melahirkan keterujaan kerana dapat menjalin kerjasama dengan penganjur buku terkenal, sejajar misi mempromosikan kreativiti pembacaan melalui platform digital.

“Pertandingan akan dijalankan secara dwibahasa kerana kita mahu menggalakkan kanak-kanak prasekolah, rendah dan menengah menjadikan aktiviti membaca sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Dalam peralihan ke arah penggunaan kandungan digital, kita tidak seharusnya mengabaikan minat membaca buku yang berjaya membina pelbagai tamadun dan budaya sejak berabad lalu,” katanya.

Yayasan KRU ditubuhkan sejak 2017 yang menyokong belia daripada keluarga berpendapatan rendah B40 bagi menyertai program pendidikan tinggi berasaskan kemahiran berkaitan industri kreatif dan keusahawanan digital.

Sejak penubuhannya, kata Norman, mereka telah menjalin kerjasama dengan lebih 10 universiti awam dan swasta serta menaja ratusan pelajar dengan penglibatan ribuan peserta menerusi program Kita Jaga Kita, Contentpreneur dan Kreatif X-Press.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif BBW, Jacqueline Ng berkata, Red Readerhood adalah sayap CSR dari BBW bagi memberi sumbangan kepada komuniti setempat melalui sumbangan buku.

Katanya, pihaknya berpegang teguh dengan prinsip setiap insan di dunia berhak membaca dan belajar tanpa mengira status mahupun latar belakang.

“Melalui pembacaan, kita dapat meningkatkan kefasihan dalam bahasa Inggeris dan menimba ilmu mengenai dunia kerana buku adalah milik semua.

“Kami percaya buku dapat mengubah kehidupan seseorang dan memberi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita tinggi serta ingin memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN