Warga emas maut dirempuh semasa membelok masuk ke kedai

Warga emas maut dirempuh motosikal semasa membelok masuk ke kedai

KEADAAN motosikal mangsa selepas dirempuh sebuah lagi motosikal di Jalan Loji Air Kelar, Pasir Mas, Kelantan. - FOTO/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang wanita warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lagi motosikal sewaktu sedang membelok masuk ke kawasan kedai di Jalan Loji Air Kelar, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi, mangsa, Hashanah Awang Kechik, 63, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke sebuah kedai yang berada di bahu jalan.

“Insiden itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha YZF-R6 yang ditunggang seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah bertentangan tidak sempat brek sebelum merempuh mangsa.

“Wanita itu mengalami cedera parah pada kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang sebuah lagi motosikal hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, nahas dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang membelok ke kanan secara tiba-tiba.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya