TAWAU: Seorang wanita maut dalam kejadian samun di hadapan sebuah bangunan terbiar di Kampung Titingan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.26 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian leher akibat dikelar dengan objek tajam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa, wanita bukan warganegara yang berusia 30-an bersama anaknya berusia setahun sedang dalam perjalanan dari rumah sewa ke rumah kakak mangsa yang berada pada jarak 300 meter di kampung yang sama.

Walau bagaimanapun, semasa melalui lorong yang gelap, mangsa dipercayai telah disamun namun, berkemungkinan mangsa cuba melawan.
“Mangsa ditemukan terbaring di tengah jalan tidak berturap dengan kesan kelar di bahagian leher.
“Pihak hospital telah dihubungi untuk melakukan pemeriksaan dan rawatan namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan barang kemas yang dipakai mangsa iaitu rantai leher dan subang emas telah hilang.
Pasukan perubatan turut membawa kanak-kanak berusia setahun dipercayai anak mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk tujuan pemeriksaan.
Menurut Champin, usaha memburu suspek giat dijalankan dan sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pengawai penyiasat kes Asisten Superitendan Zam Zarina Asri atau hubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. –UTUSAN










