PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah menyatakan beliau amat terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pegarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa semalam.
Untuk itu, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak terlibat dalam hal ini yang menganiayainya meskipun menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
“Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan.
“Besarlah harapan saya agar pegawai awam dapat berusaha bersama memartabatkan perkhidmatan awam ke tahap lebih dinamik demi kemajuan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memaklumkan perkhidmatan Mohd. Shafiq ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] Dan Dibersarakan Mengikut Perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 [Akta 277].
Mohd Shafiq berkata, surat penamatan perkhidmatannya bertarikh 1 Disember lalu hanya diterima semalam tanpa diberikan notis munasabah di mana tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan pada hari sama.
Beliau sedar, beberapa usaha tanpa henti dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasinya melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatannya.
Beliau menegaskan tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakannya semasa menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilaksanakan secara amanah dan tegas.
“Sejak saya menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ini, terdapat usaha untuk menghalang saya bertindak dengan efisyen dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikkan pangkat ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai Tuan Pengerusi Mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat perkhidmatan Awam.
“Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikkan pangkat pegawai awam kerana ia perlu melalui Mesyuarat Lembaga.
“Kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong di dalam sektor awam tidak dapat diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi kementerian atau agensi,” katanya.
Beliau turut memberitahu Jemaah Menteri sebelum ini memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan pegawai awam secara kontrak bagi yang telah bersara.
Ini kerana, katanya, ia akan memberikan beban kewangan kepada kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa sama.
“Pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya. – UTUSAN