PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memilih melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Sidang Dewan Rakyat 19 Disember ini, tidak akan kehilangan kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, ini kerana ia selaras dengan Perkara 49A (2)(C), Akta Anti Lompat Parti yang menyatakan: “Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya”.
Justeru menurutnya, mana-mana ahli Parlimen boleh mengundi mengikut pilihan masing-masing.
“Akta lompat parti itu, pada dasarnya tentang isu apabila seseorang ahli Parlimen dilantik sebagai wakil kepada satu parti, untuk kawasan tertentu. Kemudian, dia tinggalkan partinya dan pergi ke parti lain, atau menjadi seorang ahli Bebas.
“Tetapi ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan cara ataupun bagaimana seseorang ahli Parlimen itu mengundi di Parlimen. Dalam satu undi tidak percaya di Parlimen, setiap ahli Parlimen berhak mengundi mengikut pendapat atau kehendak mereka,” katanya.
Menjelas lanjut, Firoz berkata, jika tindakan ahli Parlimen BN membuat undi tidak percaya terhadap PM itu mendorong mereka dipecat oleh parti sekali pun, kerusi Parlimen mereka tidak akan dikosongkan.
“Misalnya individu A, pada sesi usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 19 Disember ini, mengundi untuk tidak menyokong beliau.
“Jika Presiden UMNO memecat mana-mana ahli Parlimen BN kerana mengundi tidak percaya ke atas PM sekali pun, ahli Parlimen itu tidak tersingkir daripada kerusi Parlimen dia.
“Seandainya seseorang itu dipecat oleh Presiden dan disingkirkan daripada UMNO, jika merujuk Perkara 49A (2)(C), seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata sebagai ahli Dewan Rakyat, masing-masing diberi kebebasan dan tiada sekatan untuk mengundi di Parlimen.
“Perkara penting adalah, ahli Dewan Rakyat dalam Rang Undang-Undang ini, diberi kebebasan memilih, dan tiada sekatan dan halangan untuk mereka mengundi di Parlimen, mengikut kehendak atau pandangan mereka.
“Mereka tidak kata mereka tidak sokong UMNO atau BN. Mereka juga tak kata mereka mahu keluar UMNO atau BN dan pergi sokong parti lain.
“Apa yang mereka kata, kalau kamu mahu saya undi di Parlimen, saya undi macam ini mengikut pandangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










