UMT serah zakat RM1 juta kepada 1,582 pelajar - Utusan Malaysia

UMT serah zakat RM1 juta kepada 1,582 pelajar

SULTANAH Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada para graduan dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-20 di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyerahkan bantuan zakat lebih RM1 juta kepada 1,582 orang pelajar asnaf universiti itu sepanjang tahun ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini, seramai 500 orang asnaf telah menerima Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah RM250,000.

Menurutnya, UMT juga akan memperkenalkan Program AsnafPro, iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT kepada pelajar terpilih.

“Itu adalah antara inisiatif UMT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar terutama mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-20 yang disempurnakan Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan hadir di majlis tersebut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.

Dalam masa sama, Mazlan memberitahu, UMT sentiasa berusaha untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan selari dengan aspirasi untuk menjadi peneraju ilmu kelautan dan sumber akuatik terunggul dalam negara dan disegani global.

“Di peringkat antarabangsa, UMT kini tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik di Asia dalam penarafan Asia University Rankings 2022 oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings.

“UMT juga adalah antara sembilan universiti Malaysia yang tersenarai dalam World University Rangkings on Sustainability 2023,” ujarnya.

Seramai 1601 graduan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang pada majlis yang berlangsung selama empat sesi bermula hari ini dan esok.

Daripada jumlah itu, 171 orang adalah graduan pasca siswazah, 1297 graduan Sarjana Muda dan 133 graduan Diploma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya