IPOH: Polis mengesahkan video tular yang memaparkan kejadian provokasi terhadap seorang pegawai polis oleh dua individu yang tular di media sosial sejak semalam, merupakan video lama.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, semakan mendapati video berkenaan pernah dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook ‘Bawang Rangers’ pada 7 Disember 2019.
“Dua kertas siasatan telah dibuka mengenai kejadian dan penularan video itu di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan pada tahun 2019.
“Kedua-dua kes telah pun selesai dan kedua-dua individu yang menghalang pegawai polis menjalankan tugas juga telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang awam diingatkan agar tidak menularkan maklumat tidak benar yang akan menjejaskan kredibiliti pasukan polis.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahguna media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu sehingga mendatangkan khianat awam,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi satu minit itu tular selepas dimuatnaik pemilik akaun TikTok ‘mdkamalmdkamal186’ yang memaparkan provokasi terhadap pegawai polis oleh orang awam yang tidak berpuas hati berikutan diambil tindakan penguatkuasaan undang-undang. – UTUSAN










