PETALING JAYA: Seorang tukang masak maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet sebuah kereta dipercayai meletup berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bunyi letupan di kejadian kira-kira 8.55 malam tadi.
Katanya, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun mendapati terdapat satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet Toyota Corolla Altis berhampiran restoran dia bekerja.
“Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan yang dipercayai daripada bungkusan tersebut.
“Akibat itu, mangsa parah pada bahagian badan dan tangan dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam di Hospital Ampang.
Ujarnya, siasatan di lokasi kejadian turut menemukan berapa kesan akibat letupan iaitu kesan kemek pada kereta mangsa.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.- UTUSAN