PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiga warga Singapura ditemukan selamat dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Batang-Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor, semalam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka disahkan masih hidup ketika misi operasi mencari dan menyelamat yang dilaksanakan pasukan dari pelbagai agensi terlibat.
“Kerajaan Malaysia masih berusaha dengan pantas untuk memastikan semua mangsa yang terjejas dalam tragedi tersebut diberikan segala bantuan dengan segera,” katanya.
Kenyataan itu merujuk kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2 pagi semalam yang menghempap tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Ia membabitkan keseluruhan 94 mangsa dengan sejumlah 21 orang daripadanya disahkan terkorban manakala baki 12 lagi individu masih hilang di lokasi.
Seramai 13 warga Myanmar yang merupakan pekerja ladang pertanian organik itu antara sebilangan mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa sejurusselepas insiden berlaku.
Menurut Wisma Putra, pihaknya menzahirkan perasaan amat dukacita dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka yang terjejas.
“Justeru, marilah kita bersama-sama berdoa dan berharap agar dipermudahkan urusan ke atas mangsa serta semoga operasi pencarian berakhir dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Luarnya, Dr. Vivian Balakrishnan mengutuskan takziah kepada rakan sejawat masing-masing.
Menurut laporan dikeluarkan MediaCorp, ucapan tersebut disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Agensi berita awam milik pemerintah republik itu turut memaklumkan bahawa, negara jiran tersebut juga sedia menghantar Pasukan Pertahanan Awam Singapura ke lokasi ini.
Rakyat republik tersebut yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi talian kecemasan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur iaitu +60 16 661 0400. – UTUSAN










