Tommy arah Shahrir didakwa walau siasatan belum lengkap

Tommy arah Shahrir didakwa walau siasatan belum lengkap

SHAHRIR Ab. Samad (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan pengubahan haram melibatkan wang RM1 juta daripada Najib Tun Razak. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertegas mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Tan Sri Shahrir Ab. Samad atas pertuduhan pengubahan wang haram meskipun kertas siasatan masih belum lengkap.

Pegawai Penyiasat SPRM, Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop, 35, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menerima kertas siasatan daripada pihak pendakwaan bahawa Tommy telah mengeluarkan izin pada 15 Januari 2020 untuk mendakwa bekas Pengerusi Felda itu.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 21 Januari 2020 atas dakwaan gagal mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wang RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nurzahidah menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir pada perbicaraan tersebut.

Dalam keterangannya, saksi pendakwaan ke-22 itu mengaku mengetahui siasatan masih belum lengkap namun beliau menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk menuduh Shahrir selepas izin mendakwa dikeluarkan oleh Tommy.

Syed Faisal Al-Edros: Di lubuk hati puan, puan tahu siasatan belum lengkap sepenuhnya, saya cadangkan tuduhan yang dilemparkan terhadap anak guam saya (Shahrir) adalah berasaskan kepada satu kertas siasatan yang belum lengkap sepenuhnya?

Nurzahidah: Ya.

Syed Faisal Al-Edros: Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan untuk mendakwa (Shahrir)?

Nurzahida: Ya.

Terdahulu, Penolong Penguasa SPRM itu bersetuju bahawa berdasarkan transaksi daripada buku akaun bank Shahrir, beliau menggunakan wang peribadinya melebihi RM2.6 juta untuk kegiatan politik sebelum menerima RM1 juta daripada Najib, pada 28 November 2013.

Bagaimanapun, Nurzahidah mengaku tidak menyiasat wang RM1 juta itu bertujuan menggantikan wang pencen Shahrir, walaupun tertuduh menegaskan perkara tersebut sebanyak lapan kali semasa siasatan dijalankan pada 2019.

Menurut Nurzahidah, beliau telah memaklumkan kepada pegawai atasan berhubung wang yang diganti semula namun tidak diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Syed Faisal Al-Edros: Bagi pandangan puan, sebagai pegawai penyiasat SPRM, wang ganti balik ini (RM1 juta) tidak disiasat, adakah ia adil bagi anak guam saya, walaupun beliau (Shahrir) berkali-kali mengatakan ia adalah wang ganti balik.

Nurzahidah: Tidak adil bagi Tan Sri Shahrir, tetapi saya tidak pernah menerima dokumen ini (pengeluaran wang RM2.6 juta). Siasatan saya selepas tarikh penerimaan wang RM1 juta.

Menjawab soalan Syed Faisal Al-Edros, saksi mengaku berasa musykil terhadap tindakan pegawai atasannya yang tidak mengarahkan untuk menyiasat mengenai wang yang diganti itu.

Syed Faisal Al-Edros: Oleh kerana puan kata ia adalah satu sudut siasatan yang penting (wang ganti balik), puan mahu siasat sendiri, tetapi takut untuk langgar arahan.

Nurzahida: Ya.

Semalam, saksi penting pendakwaan itu memberitahu,
wang RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri kepada Shahrir bertujuan membayar balik wang peribadi yang telah didahulukan oleh bekas Pengerusi Felda itu untuk melaksanakan aktiviti politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Perbicaraan bersambung 5 Januari ini.

Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya