‘Tidak layak kah saya untuk sedih, kecewa…’ - Utusan Malaysia

‘Tidak layak kah saya untuk sedih, kecewa…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR sekali untuk meneka perasaan dan emosi yang sedang memeluk diri pelakon, Janna Nick. Dalam relung matanya sahaja, terkandung seribu satu rahsia. Cuma yang terlihat, adalah kekuatannya. 

Melangkah walau dalam keadaan sakit dan kecewa, apa sahaja kata-kata yang dilemparkan warganet ditelan dalam. 

Tidak sekali dia mengiyakan atau menafikan, benarkah dia sudah berpisah dengan teman lelakinya, Dini Schatzmann? Itu soalan pertama yang dilontarkan saya ketika mata kami bertentangan.

“It’s complicated. Saya tiada komen. Apa sahaja yang anda lihat dan dengar dalam lagu Mentari Setia, itulah luahan hati paling dalam mencerminkan apa sedang saya lalui,” katanya. 

Hakikatnya, bukan mudah untuk melihat seorang Janna Nick larut dalam emosinya. Dia bagai memakai topeng, menghadiahkan senyuman manis sahaja untuk tatapan peminat. 

Namun, dia juga seorang manusia. Lantas atas dasar apa kisah putus cintanya dikatakan hanya satu gimik untuk menipu rakyat Malaysia? Tiada ruang simpati untuknya? Lucut sudah semua hak sebagai seorang manusia untuk bersedih, kecewa? 

“Sebulan saya ambil masa untuk hilangkan apa yang berselirat dalam fikiran dan hati. Menghirup udara tenang dan mencari ruang untuk diri sendiri. Sumpah, saya melalui fasa sedih dan kecewa itu. 

“Saya ini tidak ada perasaankah? Setiap dakwaan itu tidak lahir dari mulut saya sendiri. Itu semua adalah cerita sensasi yang digembar gemburkan oleh segelintir warganet menerusi perkongsian saya. 

“Saya tidak menulis lirik Mentari Setia sekadar untuk gimik. Setiap kata-katanya ada jiwa. Itu realiti, bukan fantasi. Kalau itu dianggap hanyalah satu gimik, maka di mata segelintir kalian, saya tidak layak punya perasaan,” ujarnya.

Mangsa bodyshaming?

BENARLAH kata Janna kepada saya dahulu, setiap apa yang dilakukan pasti ada mata yang mencari salah. Dia tidak dapat melarikan diri daripada pandangan negatif itu. 

Bagai sudah termaktub dalam surat akujanji sebagai seorang insan seni. Ibarat bernafas dalam lumpur, dia tetap berenang merentasi lautan seni walau dalam payah. 

Tidak sekali dia simpan dalam kritikan dan kecaman. Apatah lagi hinaan melibatkan saiz tubuh badannya. 

“Saya tak terasa pun. Kadang-kadang, tak perlu orang komen, kecam dan bodyshaming, saya sendiri sedar diri. Saya berpegang kepada prinsip, selagi gembira, tidak perlu saya ambil peduli semua itu. 

“Tiba masa saya rimas dengan komen-komen itu, saya akan mula berdiet. Tetapi bukan untuk mereka, tetapi diri sendiri. Saya mencari bahagia sendiri,” kata pelakon Biar Aku Jadi Penunggu itu. 

Namun jauh di sudut hati anak pemilik nama sebenar, Nurul Jannah Muner ini, dia juga mahu menurunkan berat badannya. 

Setiap kali dia memandang cermin, dia sendiri melihat seorang wanita yang bertambah saiz badannya.

“Saya tak hidup dalam penafian. Saya sendiri bila tengok cermin rasa diri gemuk, pakai baju macam tak cantik. Kadang-kadang rasa, serba serbi tidak kena. Tetapi tidak perlu pun orang komen berlebihan. 

“Saya juga mahu kurus. Kalau kata saya selesa begini, tipulah. Mungkin jika saya bukan seorang pelakon, kurus itu bukan satu kepentingan. Tetapi menjalani kehidupan sebagai anak seni, itu antara perkara penting,” kongsinya.

Mentari Setia

BARU sahaja melancarkan single baharu, Mentari Setia, ramai juga bertanya adakah dia sudah kembali aktif sebagai penyanyi? 

Mungkin juga dia berehat daripada dunia lakonan untuk sementara? Apatah lagi, langkahnya sebagai penerbit menerusi syarikat JN Studio & Entertainment semakin mara. 

Dari drama ke program TV, semuanya dia sapu. Membuktikan kehadirannya dalam dunia seni ada hasilnya. 

“Alhamdulillah, tak sangka sebenarnya bila keluar lagu terus mendapat perhatian ramai. Mungkin kena tepat dengan situasi yang sedang menjadi tanda tanya orang. Mudah untuk Mentari Setia mendapat tempat. 

“Tetapi lagu itu cukup dekat dengan saya. Setiap kali menulis lirik, saya akan tumpahkan seluruh emosi dan jiwa. Saya tidak menulis suka-suka, tetapi bercerita meluahkan rasa dan perasaan. 

“Mungkin sebab itu juga, peminat suka dan menghayati lagu itu. Ramai rakan artis menyanyikan semula Mentari Setia, peminat menghasilkan video berlatar belakangkan lagu itu. Alhamdulillah,” ujarnya. 

Sibuk dengan penggambaran program travelog baharu, Janna dekat mana tu, Ain dekat sini, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini juga sedang mempersiapkan diri sebagai pengacara program baharu, Famili Duo yang ke udara bermula malam ini di TV3. 

Bersyukur dengan setiap rezeki kurniaan Tuhan, Janna juga sering menjadikan kritikan membina peminat untuk meningkatkan kualiti lakonan, nyanyian dan pengacaraan biarpun sudah sedekad bergelar anak seni. 

“Sibuk sangat sekarang, tetapi bila awak panggil photoshoot, takkan saya nak tolak kan? Saya sedang sibuk dengan penggambaran program travelog pertama terbitan syarikat saya sendiri dan juga mengacara Famili Duo. 

“Tetapi saya tak boleh tipu, jiwa saya lebih tenang bila berada di belakang kamera. Walaupun banyak lagi ilmu yang saya perlu gali, tetapi itu semua menjadikan pengalaman ini berbaloi. Ini adalah cinta dan minat saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×