Tiada keperluan PRN segera di negeri-negeri PH - Utusan Malaysia

Tiada keperluan PRN segera di negeri-negeri PH

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) setakat ini masih kekal dengan pendirian tidak akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan perbincangan tidak rasmi pimpinan itu yang dibuat sebelum ini.

“Buat masa ini, kami masih mengambil kira beberapa perkara lain (sebelum mengadakan PRN) seperti sambutan Tahun Baharu Cina, cuti sekolah, bulan puasa, hari raya, hari raya haji dan sebagainya.

“Yang pasti, ia bukan berkaitan dengan BN (perbincangan untuk mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional) tetapi lebih kepada proses ‘pemulihan’ selepas PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini mendesak PRN diadakan segera di tiga buah negeri yang berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain tiga negeri berkenaan, tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir oleh PH juga sedang menunggu waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya tersebut.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pihaknya mengambil maklum akan keinginan negeri-negeri di bawah PN untuk mengadakan PRN lebih awal.

Bagaimanapun katanya, bagi negeri-negeri di bawah PH, hanya Majlis Presiden yang boleh menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRN di negeri-negeri tersebut.

Kon Yeow sebelum ini dilaporkan terbuka untuk berunding dengan kesemua negeri yang belum mengadakan PRN bagi membolehkan ia dijalankan serentak di keenam-enam negeri yang terlibat sebagai sebahagian daripada usaha memudahkan pengundi pulang ke negeri masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.