KUANTAN: Gara-gara takut kehilangan wang pinjaman, seorang kerani kerugian RM2,500 diperdaya suspek yang mengaku sebagai pegawai bank.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Lee memohon pinjaman wang RM10,000 di sebuah bank namun dimaklumkan tidak diluluskan, Isnin lalu.
Bagaimanapun, katanya, pada Selasa lalu, dia terkejut dimaklumkan permohonan pinjamannya lulus dan wang RM10,000 sudah dimasukkan ke dalam satu lagi akaun banknya.
“’Pegawai bank’ itu menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan pinjaman saya sudah dimasukkan ke akaun peribadi milik saya yang berbeza dengan bank pinjaman saya mohon.
“Bagaimanapun wang pinjaman terbabit berada dalam keadaan terapung kerana masalah CTOS.
“’Pegawai bank’ berkenaan meminta saya memasukkan wang RM2,500 ke akaun milik pegawai bank terbabit bagi tujuan membersihkan nama saya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lee berkata, curiga dengan tindakan ‘pegawai bank’ yang menghubunginya, dia segera membuat pemeriksaan ke akaun bank yang sepatutnya wang pinjaman RM10,000 itu dimasukkan, namun tiada.
“Kali pertama saya masukkan RM2,500 kemudian ‘pegawai bank’ itu minta saya masukkan lagi RM2,000 kerana mata untuk pinjaman saya masih tidak cantik.
“Saya tidak dapat masukkan baki RM2,000 kerana sudah capai limit pemindahan wang, saya mula rasa pelik dan apabila membuat pemeriksaan. saya dapati wang pinjaman saya sudah tiada.
“Apabila sedar ditipu, saya segera membuat laporan di bank untuk menyekat akaun individu yang mengaku pegawai bank itu dan turut membuat laporan polis, semalam,” katanya. – UTUSAN