PETALING JAYA: Senator Datuk Seri Zurainah Musa menyifatkan penamatan lantikannya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) adalah hak istimewa Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Zurainah dalam satu kenyataan berkata, beliau memahami sebagai pucuk pimpinan baharu, Ahmad Fahmi mempunyai visi dan cara kerja yang ingin dibawa serta memerlukan sokongan pasukannya sendiri.
Justeru katanya, penamatan lantikan itu tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana Finas.
“Saya ingin mengesahkan menerima surat daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital yang telah memendekkan tempoh lantikan saya sebagai Pengerusi Finas, selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.
“Perkara ini merupakan prerogatif beliau dan tindakan itu tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewangan dana Finas.
“Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib FINAS, malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas. Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Zurainah mengharapkan rakan-rakan industri filem yang telah bertemu dan berbincang dengan pihaknya sebelum ini akan terus memberi kerjasama serta membantu Finas mencapai kecemerlangan bersama.
“Saya amat yakin dengan gabungan yang harmoni antara penggerak industri kreatif negara bersama Finas mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.
“Keupayaan dan kemampuan penggerak industri kreatif negara setimpal dan mampu bersaing secara sihat dengan negara luar, namun hanya perlu mempertingkatkan usaha pemasaran dengan lebih agresif.
“Saya amat yakin penjenamaan Malaysia sebagai destinasi filem yang boleh melonjakkan ekonomi negara akan lebih menyerlah melalui suntikan pelaburan besar daripada penggiat seni dari seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Zurainah turut menyatakan kesediaan untuk membantu dalam segala aspek peralihan kepimpinan Finas.
“Bakal pengganti saya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menghadapi pelbagai cabaran industri pada masa kini.
“Saya amat yakin dan percaya pengurusan Finas akan melakukan yang terbaik dalam memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan sebaik mungkin.
“Secara peribadi, saya bersedia untuk membantu sebarang usaha dalam memastikan kelangsungan usaha dan inisiatif sebelum ini agar Finas serta kepimpinan baru terus mencapai kecemerlangan serta kejayaan,” katanya.