HULU SELANGOR: Keadaan struktur tanah yang berisiko tinggi faktor sukarelawan tidak dibenarkan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di tapak perkhemahan Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis memahami terdapat beberapa pihak awam yang ingin membantu dalam kerja-kerja SAR.
Namun, katanya, soal keselamatan pelbagai pihak menjadi faktor utama mereka tidak dibenarkan mengikuti operasi itu.
“Kita hadkan operasi pencarian ini dengan diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi lain.
“Kawasan yang terlibat ini luas, sekiranya kita memberikan kebenaran dibimbangi penugasan tidak dapat diselaraskan dan menjadi kucar-kacir,” katanya kepada pemberita. – UTUSAN