PETALING JAYA: Insiden kekecohan di Dewan Rakyat Isnin lalu memberi isyarat jelas yang sudah sampai masanya kerajaan perlu memperkenalkan akta etika wakil rakyat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sivamurugan berkata, pengenalan akta itu mampu melahirkan golongan wakil rakyat yang budiman dari semua aspek termasuk budi bicara, budi pekerti dan akal budi.
Malah, katanya, akta itu dalam masa sama dapat mendidik dan memberi kefahaman kepada ahli Parlimen agar beretika serta menghormati perbezaan pandangan di Dewan Rakyat.
“Rakyat mahukan wakil rakyat yang berwibawa dan mempunyai ketokohan, bukannya mereka yang terjerit-jerit menggunakan perkataan kurang menyenangkan dan bersifat provokasi. Norma ini tentunya tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.
“Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan akta wakil rakyat supaya kalangan pemimpin di Malaysia terus disegani dan meraih sokongan rakyat di samping dapat mempertahankan kemuliaan dewan di sebalik perbezaan fahaman dan ideologi politik antara mereka,” katanya di sini.
Dewan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini kecoh apabila beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang masing-masing mengeluarkan perkataan tidak berparlimen seperti bodoh, beruk serta penyamun.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegur ahli-ahli Parlimen agar tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai gelanggang sarkas sekali gus perlu menjaga adab susila masing-masing tanpa melanggar batas peraturan ditetapkan.
Malah, Pengarah Strategik Forward Malaysia, Jazlie Baharudin turut mencadangkan agar modul Sekolah Parlimen diperkenalkan bagi memberi pendedahan sebenar kepada suasana perjalanan urusan sidang Dewan Rakyat dalam kalangan wakil rakyat khususnya yang baharu.
Menurut Sivamurugan, pelaksanaan akta etika itu diyakini dapat melengkapi Akta Anti Lompat Parti yang baharu diperkenalkan di samping Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendanaan Politik.
Katanya, negara seperti New Zealand dan India misalnya sudah memiliki akta tingkah laku wakil rakyat.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, gelagat jelik wakil rakyat bukan sahaja mencemar kemuliaan dewan, malah menggambarkan watak dan pemikiran mereka yang tidak dapat mengawal emosi di samping gagal berhujah dengan profesional.
Katanya, perbuatan demikian hanya merugikan masa dewan, sedangkan tempoh berkenaan sepatutnya dimanfaatkan untuk mencetuskan idea terbaik buat rakyat dan negara.
“Saya percaya perlu ada usaha untuk menjelaskan kepada wakil rakyat tentang tata kelakuan dan peraturan persidangan.
“Rakyat mahukan wakil rakyat berkelas dunia yang profesional dalam berdebat dan bukan mereka yang hanya tahu melancarkan serangan dengan menggunakan label jelik yang tidak menguntungkan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










