SMART SBB beri sinar kepada pesawah Kota Belud

SMART SBB beri sinar kepada pesawah Kota Belud

KETUA Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Azman Md. Azhar (tengah) dan Pengarah IADA Kota Belud, Norfaine Sameun (kiri) turun padang bersama Rajumin Jamrin (dua dari kiri) serta para peserta SMART SBB untuk melihat perkembangan projek di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Seramai 40 pesawah di Kampung Jawi-Jawi di sini menyambut akhir tahun 2022 dengan senyuman apabila hasil tuaian padi mereka meningkat lebih 60 peratus.

Pesawah di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Bernas di Kota Belud, Sabah ini telah menjangkau sasaran mereka apabila tuaian padi untuk musim pertama di Blok 3 dan 4, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan dari 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.

Program SMART SBB bagi musim 1/2022 di kawasan ini telah bermula pada 12 Mei 2022 yang lalu merupakan hasil usaha sama Bernas bersama Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah dan lain-lain.

Penyelia SMART SBB Kampung Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata, peserta program ini gembira dan syukur atas perolehan hasil sebenarnya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 4.00 tan metrik sehektar.

“Sawah seluas 42.34 hektar di sini telah ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi bermula 5 September 2022 dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar,” kata Rajumin Jamrin yang merupakan Ketua Blok Jawi-Jawi.

PARA peserta SMART SBB Bernas di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud bersedia untuk berkongsi
ilmu yang mereka pelajari dengan para pesawah yang berminat untuk mengusahakan sawah.

Menurutnya, pesawah di sini pada awalnya kurang yakin dengan program SMART SBB, namun setelah dicuba dan dilihat hasilnya, ramai mula tampil menunjukkan minat untuk menyertai program ini.

Katanya, kini setelah masuk musim ke-2, mereka secara sukarela mula mengikuti kaedah penanaman yang disarankan oleh Bernas dan agensi-agensi yang terlibat.

Selain itu, tambahnya, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperolehi di kawasan ini, kini telah dibekalkan oleh Bernas.

“Ia telah memberikan keselesaan kepada para pesawah di samping menjimatkan masa dan tenaga mereka.

“Ini semua pasti akan tercapai jika peserta program mempunyai disiplin dan usaha yang berterusan, insya Allah,” ujar Rajumin.

Peserta muda, Hisham Stu yang pertama kali mengusahakan sawah amat berpuas hati dengan pulangan yang diterimanya.

“Sebelum ini, saya memperolehi pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim. Alhamdulillah setelah menyertai SMART SBB bersama Bernas, ia meningkat kepada RM6,000.

“Selain itu, kerja-kerja yang dahulunya berat dan berbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti drone untuk membaja dan meracun rumpai. Bimbingan dari Bernas dan agensi-agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih efisien,” katanya.

Pencapaian ini ternyata membolehkan para pesawah di sini membayar balik kos operasi mereka, selain menikmati lebihan pendapatan.

Manakala seorang lagi peserta SMART SBB, Duli Okoi menyatakan perasaan amat berpuas hati dengan hasil dan pendapatan yang diperolehnya bagi musim ini.

“Pematuhan kepada jadual kerja ladang yang teratur dan aktiviti pengurusan ladang yang dilakukan secara bersepadu telah membuahkan hasil yang cukup ketara.

“Kepada para pesawah di Kampung Jawi-Jawi yang masih belum menyertai Program SMART SBB, sertailah kami di musim-musim akan datang,” akhiri beliau.

SMART SBB mula diperkenalkan pada awal tahun 2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Setakat ini, Bernas sedang dalam perancangan untuk membangunkan tanah seluas 127 hektar bersama 86 peserta di Kota Belud, Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN