Sindiket ubah laluan masuk PATI tumpas

Sindiket ubah laluan masuk PATI tumpas

ANTARA PATI ditahan JIM di TBS Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan enam orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dihantar ke ibu negara melalui bas ekspres dalam satu operasi khas di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi pukul 5.20 pagi itu, pemeriksaan ke atas semua penumpang dua buah bas secara berasingan berjaya menahan lima orang lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun.

Katanya, penangkapan ini susulan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM menerima maklumat awam bahawa terdapat sekumpulan enam orang PATI akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

“Siasatan dilakukan semua PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok Kelantan.

“Mereka dikesan di Lebuh raya Pantai Timur, manakala pasukan JIM mengekori sehingga ke TBS sebelum penangkapan dilakukan di lokasi ketibaan mereka itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu.

“Semua cap palsu digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan imigresen di pintu masuk negara.

“Malah siasatan turut mendapati kesemua mereka memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, sindiket  ini juga dipercayai mengubah modus operandi dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.

Katanya, jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan.

“Seterusnya mereka akan dipindahkan dengan  menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa masuk ke Malaysia. Sebaliknya urusan berkaitan pasport diuruskan oleh pihak sindiket semasa mereka berada di rumah transit penampungan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, tujuan mereka masuk adalah bekerja semula sama ada dengan bekas majikan atau majikan baharu di sekitar Kuala Lumpur yang diatur awal oleh pihak sindiket.

“Mereka mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini.

“Kesemua PATI berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya