PETALING JAYA: Sutradara tersohor, Sabri Yunus menyifatkan Nad Zainal sebagai pelakon yang kuat semangat sepanjang mereka bergandingan dalam filem Denu yang tamat penggambaran 11 November lalu.
Sabri memaklumkan, Nad tidak menunjukkan dirinya sedang berdepan masalah kesihatan, malah begitu komited menyelesaikan semua babak dalam filem berkisar mengenai primadona mak yong ketika penggambaran di Perak.
“Seminggu selepas penggambaran selesai, baru saya dapat tahu Nad jatuh sakit. Sepanjang berlakon dengan saya, Nad langsung tidak menunjukkan simptom sakit mahupun menunjukkan sebarang tanda tidak sihat.
“Kalau penggambaran habis waktu malam, dia boleh pulang ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan kerja lain pada keesokan paginya.
“Ini bermakna, dia sangat kuat dan bersedia melunaskan tanggungjawab lain pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengenai perancangan Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin untuk bertudung, Sabri berkata, dia juga mengetahui tentang niat baik pelakon tersebut selepas kerap kali memuat naik gambarnya berhijab di Instagram.
“Saya terbaca Nad hendak bertudung sepenuhnya selepas menyelesaikan dua kerja iaitu drama dan filem ini.
“Saya sangat terharu bila Nad menyatakan mahu berlakon filem ini kerana saya. Dua kali dia beritahu produksi. Bukan nak cakap sebab saya bagus berlakon, tetapi mungkin juga kerana Nad mengimpikan watak tersebut,” katanya.
Jumaat lalu, pelakon, Ungku Ismail menerusi satu hantaran video di Instagram memaklumkan keadaan terkini Nad yang masih dalam proses pemulihan.
“Nad masih dalam proses pemulihan. Alhamdulillah, dia dalam keadaan baik. Saya mohon anda semua terus doakan dia agar sembuh dan dilenyapkan segala penyakit serta kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.
Ungku Ismail pada hantaran sama turut memaklumkan, tabung dana kecemasan bagi menampung kos perbelanjaan rawatan Nad sudah mencecah RM270,000.
Menurutnya, sebanyak tiga peratus dana yang dikutip menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan As-Sidiq akan disumbangkan kepada pertubuhan itu dan selebihnya menampung perbelanjaan serta ikhtiar dalam proses penyembuhan Nad.
Bulan lalu, ibu dua cahaya mata itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Ampang selepas mengalami jangkitan kuman dan pendarahan pada paru-paru.