SAM gesa suruhanjaya siasatan ditubuhkan siasat tragedi tanah runtuh Batang Kali - Utusan Malaysia

SAM gesa suruhanjaya siasatan ditubuhkan siasat tragedi tanah runtuh Batang Kali

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm dekat Batang Kali, Selangor, awal pagi tadi.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, suruhanjaya siasatan itu juga perlu mencari langkah pencegahan dan pemulihan kawasan yang terjejas dengan insiden terbabit.

”SAM amat terperancat dengan kejadian tanah runtuh ini memandangkan kami sudah berkali-kali memberi amaran tentang kebenaran melakukan kerja tanah dan bentuk aktiviti lain di tanah tinggi dan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

“Punca-punca tragedi ini mesti disiasat dan didedahkan secara terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, SAM juga mahu siasatan dilakukan terhadap pemilik ladang berkenaan yang membuka tapak perkhemahan di kawasan itu.

”Siasatan juga perlu dibuat bagi memastikan sama ada langkah keselamatan telah diambil oleh pemilik bagi mengelakkan risiko kepada pengunjung.

”Gambar menunjukkan kegagalan cerun yang besar telah berlaku di bawah lebuh raya berhampiran di bahagian atas tapak. Punca yang menyebabkan perkara itu berlaku perlu disiasat,” katanya.

Tambahnya, mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa dalam tragedi itu juga perlu dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu, katanya, kerajaan mesti mempercepatkan Pelan Adaptasi Nasional untuk mengenal pasti kawasan yang terdedah dan berisiko tinggi terhadap kesan iklim dan mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim.

“Terdapat banyak kawasan berisiko tinggi di mana boleh berlaku tanah runtuh yang harus di pantau oleh pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN