RM400 juta disalur untuk pengurusan banjir

RM400 juta disalur untuk pengurusan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani musibah banjir, sebanyak RM400 juta telah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan-kawasan banjir.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setakat ini, pelbagai agensi kerajaan sudah berada di lapangan bagi menggerakkan jentera untuk membantu rakyat.

“Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Dalam pada itu, kerajaan juga turut bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bermula Januari 2023. 

Sebelum ini, jelas Anwar, kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 ringgit kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah.

Katanya lagi, langkah itu adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh ini.

Mengenai tatakelola projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM15 bilion pula, Anwar menjelaskan, sebanyak 39 cadangan projek RTB dipohon Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini. 

Daripada jumlah tersebut, kata Anwar lagi, sebanyak 28 daripadanya telah diluluskan secara rundingan terus dengan anggaran nilai berjumlah hampir RM14 bilion atau lebih 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan. 

“Persoalannya, mengapa projek RTB yang besar belanjanya ini diputuskan dalam ruang tatakelola yang tergesa-gesa secara rundingan terus walaupun projek ini sebenarnya ialah projek jangka panjang sehingga 2030.

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak mempersoalkan kepentingan projek Tebatan Banjir. Yang saya gusar ialah, duit rakyat sebegini banyak, dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat sekali. 

“Maka, saya telah meminta Kementerian Kewangan untuk menilai semula proses perolehan yang dipercayai dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM 2 bilion yang boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN