Remaja hilang, lari ketika berada di inap desa

Remaja hilang, lari ketika berada di inap desa

SALSABILA Putri hilang sejak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Jika sesiapa nampak anak saya, sila hubungi saya segera dan lapor kepada polis,” kata Md. Nasir Abdul Rahim, 58, bapa kepada Salsabila Putri, 13, remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Md. Nasir merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya dapat mengesan anak bongsunya itu.

“Saya sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Salsabila, malah hubungan kami amat baik dan tiada masalah.

“Tolong kesan anak saya. Kami sekeluarga harap dia selamat walau di mana dia berada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu, Md. Nasir berkata, dia sekeluarga berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tiba di Taman Salak Maju, di sini sejak 23 Disember lalu.

Katanya, dia sekeluarga menyewa di sebuah inap desa di sini kerana urusan perkahwinan seorang lagi anaknya di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, awal pagi semalam, Salsabila dikatakan sempat bertemu dengan dua orang lelaki tidak dikenali di luar inap desa itu sebelum hilang.

“Salsabila tiada kawan di sini, namun kami syak dua lelaki itu mungkin kawannya yang dikenali ketika bermain menerusi permainan dalam talian,” katanya.

Katanya, Salsabila turut memiliki telefon bimbit, namun anaknya itu gagal dihubungi sejak semalam.

Md. Nasir berkata, laporan polis sudah dibuat pukul 10 pagi semalam di Balai Polis Bandar Baharu Salak Tinggi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa dikatakan hilang pukul 2.30 pagi semalam.

Menurutnya, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga selepas menyedari remaja itu tiada di dalam bilik, malah cubaan menghubungi menerusi telefon bimbit mangsa juga gagal.

“Menurut rakaman sistem litar tertutup (CCTV), adik mangsa mendakwa mangsa diambil seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki sebuah motosikal.

“Turut dirakam menerusi CCTV sama adalah seorang lagi lelaki yang juga menaiki sebuah motosikal lain.

“Keluarga mangsa telah menghubungi kawan Salsabila yang berada di Pulau Pinang, namun tidak mendapat sebarang maklumat,” katanya.

Katanya, ketika hilang, mangsa memakai pakaian serba hitam selain mengenakan pelitup muka dan berkasut warna kelabu.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa juga berketinggian 160 sentimeter (cm) dan berat anggaran 45 kilogram (kg). – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN