GUA MUSANG: Lebih 30 pelajar dan penduduk Orang Asli yang menaiki tujuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan jalan balak lebih 20 jam sebelum tiba di Pos Balar di sini, semalam susulan musim tengkujuh.
Selain jalan balak yang rosak, mereka terpaksa meredah paras air sungai yang naik.
Seorang penduduk Orang Asli, Kamal Alek, 37, berkata, hujan berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan jalan di kawasan itu menjadi berselut dan rosak.
Katanya, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa bermalam dan makan mi segera di dalam hutan.
“Kelmarin, kami bertolak dari Kampung Kuala Betis pada pukul 12 tengah hari dan sampai ke Bukit Cerem pada pukul 3 pagi.
“Kami terpaksa bermalam di tengah hutan dan makan mi segera sebelum bertolak balik pada pukul 9 pagi. Kami selamat sampai di Pos Balar pada pukul 3 petang, semalam,” katanya.
Kamal memberitahu, keadaan jalan dari Kuala Betis menuju ke Pos Balar dan Pos Belatim ketika ini turut mengalami kerosakan teruk disebabkan cuaca hujan.
“Sebanyak lima buah 4WD milik kontraktor pengangkutan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang ingin menghantar pelajar Orang Asli bercuti di kampung dan dua buah 4WD penduduk kampung banyak kali tersangkut dalam lubang serta lumpur.
“Kami bersyukur apabila selamat tiba di kampung walaupun keletihan dan semua pelajar berada dalam keadaan selamat dan baik,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Pos Balar, Mus Alang, 52, berkata, mereka perlu menghadapi situasi tersebut kerana sudah tidak mempunyai pilihan jika mahu keluar mendapatkan barangan keperluan sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, masyarakat Orang Asli memohon Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perhatian serius terhadap masalah jalan perhubungan kami yang sentiasa rosak terutama musim hujan. – UTUSAN