Rayuan Rosmah singkir hakim 17 Mac 2023

Rayuan Rosmah singkir hakim 17 Mac 2023

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung permohonannya untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan daripada terus mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapimya akan didengar pada 17 Mac 2023.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd. Khairi Haron pada pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn ketika dihubungi media selepas prosiding tersebut.

Pada 22 November lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuan tersebut dan mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis berhubung isu mempunyai bidang kuasa mahkamah itu untuk mendengar kedua-dua rayuan Rosmah.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu merayu terhadap dua keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Kali pertama permohonan Rosmah ditolak ialah pada 14 Disember 2021 manakala pada 12 Januari lalu, Rosmah memfailkan permohonan kedua untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Permohonan kali kedua itu ditolak pada 24 April lalu. Bagaimanapun Rosmah berjaya menggantung perbicaraan kes pengubahan wang haram itu sementara menunggu rayuannya berhubung keputusan untuk menyingkirkan hakim itu, diputuskan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.