PU Azman didakwa lagi atas pertuduhan seksual - Utusan Malaysia

PU Azman didakwa lagi atas pertuduhan seksual

AZMAN Syah Alias hadir di Mahkamah Sesyen Ampang bagi menghadapi pertuduhan seksual. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Pendakwah itu yang turut dikenali sebagai Cik Man, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Pendakwaan hari ini merupakan pertuduhan seksual yang ke-10 dihadapi olehnya iaitu empat di Mahkamah Klang dan lima pertuduhan di Mahkamah  Seremban sekitar dua bulan lalu.

Bagi pertuduhan terbaharu, PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada waktu tengah hari pada 22 Julai lalu di bilik sebuah resort di Hulu Langat dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan PU Azman dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 10 Februari depan bagi serahan dokumen.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu dan menghampiri mangsa serta saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

PU Azman juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan serta pasportnya ditahan oleh mahkamah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, beliau berhujah, mahkamah boleh menggunakan budi bicara jika ingin memberikan jaminan dan memohon nilai yang tinggi bagi menunjukkan keseriusan kes.

“Kami mahu memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dengan mengambil kira kes amang seksual fizikal menarik perhatian umum,” jelasnya.

Bagaimanapun peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan rendah bagi membolehkan anak guamnya mendapat pembelaan terbaik bagi menghadapi kes.

Jelasnya, pihak pembelaan percaya tiada alasan luar biasa yang melarang mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.

Beliau menghujahkan, Azman Syah telah didakwa sebelum ini di Mahkamah Klang dan diberikan jaminan RM24,000 manakala di Seremban RM40,000.

Mohamad Zahid berhujah, syarat sana ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini iaitu melapor diri pada setiap minggu pertama setiap bulan di Balai Polis Rantau, Seremban.

Mahkamah berkenaan ketika itu turut mengeluarkan arahan supaya tertuduh dilarang  mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain pasport ditahan.

Hujah Mohamad Zahid, PU Azman turut memberikan kerjasama baik ketika siasatan sejak bulan Oktober lalu dan ketika prosiding pendakwaan.

“Kakak tertuduh juga hadir dan sedia menjadi penjamin.  Rayuan jaminan rendah kerana pendapatan tertuduh terjejas teruk selain menanggung diri dan adik beradik lain tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah Sesyen Ampang menjadi mahkamah ketiga Azman Syah didakwa selepas dihadapkan di Mahkamah Klang dan Seremban masing-masing pada awal bulan ini serta Oktober lalu.

PU Azman yang memakai baju kurta biru dan berseluar kelabu diiringi beberapa peguamnya dan anggota polis dilihat memasuki lobi Mahkamah Ampang pukul 8.55 pagi.

Pendakwah selebriti itu kelihatan tenang ketika foto dan videonya dirakam oleh lensa kamera pengamal media yang menunggu ketibaannya sejak pukul 8.30 pagi.

Sebelum ini di Mahkamah Klang, pendakwah selebriti terlibat didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki juga pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya