PASIR MAS: Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 dan 2 bukan sahaja akan diteruskan malah dipercepatkan tanpa kos berlebihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, projek berkenaan ditangguh seketika kerana beliau mahu ia dijalankan melalui proses tender walaupun tender terhad.
Menurutnya, langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan tidak ada kos berlebihan digunakan dan beliau memberi jaminan peruntukan berkaitan akan disegerakan sebaik sahaja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghantar laporan kepada Kementerian Kewangan.
“Saya beri jaminan sebaik sahaja JPS hantar laporan, Kementerian Kewangan akan menyegerakan dengan syarat ia bukan rundingan terus untuk memastikan kos tidak meningkat.
“Saya minta JPS agar dapat menyelesaikan urusan ini pada akhir bulan ini, namun kita mungkin beri kelonggaran sehingga Januari. Cuma saya minta segerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, di sini sebentar tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun memberitahu, jumlah peruntukan akan bergantung kepada proses tender yang akan ditetapkan nanti.
Katanya, ia tidak boleh melalui tender biasa kerana mengambil masa terlalu lama dan tidak juga melalui rundingan terus kerana kos akan meningkat dengan tidak tentu arah.
“Setelah meneliti fail-fail berkaitan saya dapati memang bermasalah termasuk kos meningkat tanpa kawalan.
“Jadi kerana itu kita pilih tender terhad sebab mahu percepatkan dan saya harap proses berkenaan disegerakan,” ujarnya.
Sebelum ini, Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dikaji semula. – UTUSAN










