Projek kereta kabel Bukit Bendera terus dibantah NGO - Utusan Malaysia

Projek kereta kabel Bukit Bendera terus dibantah NGO

ILUSTRASI artis berkenaan projek kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang yang mendapat bantahan daripada pelbagai NGO di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek pembinaan kereta kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta terus mendapat bantahan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Terbaharu hari ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meneruskan projek kereta kabel itu yang akan menghubungkan Taman Botani ke puncak Bukit Bendera.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, projek kereta kabel itu akan membawa kesan serius kepada alam sekitar dan kesihatan orang awam.

“Kesejahteraan rakyat dan keutuhan alam sekitar kita tidak harus dikorbankan hanya untuk menarik sumber kewangan daripada pelancong.

”Projek kereta kabel ini akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, taman tema, rumah dan jalan raya untuk menampung peningkatan bilangan pelancong dan penduduk.

”Pembangunan sebegini akan memberi kesan buruk kepada persekitaran bukit yang sensitif dan membahayakan keseimbangan ekologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menurut Mohideen, pembangunan kereta kabel di Bukit Bendera akan memberi kesan buruk kepada persekitaran bukit yang sensitif dan membahayakan keseimbangan ekologi.

”Ia pasti akan menyebabkan kehilangan litupan hutan dan pencemaran sungai di atas bukit selain pengurangan habitat dan akibatnya berlaku kepupusan tumbuhan, haiwan, burung, dan serangga yang berharga.

”Kesannya juga akan menyebabkan hakisan tanah, kemerosotan pada cerun tanah dan peningkatan tanah runtuh,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan kereta kabel dan aktiviti manusia di atas Bukit Bendera akan menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida dan meningkatkan lagi jejak karbon di negeri ini.

”Pihak berkuasa jelas tidak belajar daripada kejadian ribut dan banjir beberapa tahun lalu yang menyebabkan tanah runtuh secara besar-besaran, menumbangkan banyak pokok dan memutuskan perhubungan di atas Bukit Bendera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.