KOTA BHARU: Kelantan mengambil kira semua faktor termasuk situasi Monson Timur Laut (MTL) semasa dalam membuat sebarang keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selain MTL yang dijangka berakhir Februari nanti, faktor kos pengundi yang tinggal di luar negeri ini akan turut diambil kira bagi memastikan mereka pulang melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Memang ada pihak yang melihat suasana politik kini sesuai untuk pembubaran DUN, namun kita kena fikir semua sudut dan tidak hanya soal kepentingan politik. Insya-Allah ia akan diadakan tahun depan cuma bulan sahaja kita tak tahu, namun saya rasa lebih awal dari Mei memandangkan jika lewat ia akan terbubar dengan sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran DUN Panchor hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu memberitahu, PRN akan tetap berjalan pada tahun depan memandangkan tempoh penggal DUN Kelantan akan berakhir pada Mei.
Katanya, beliau yakin PRN akan berlangsung lebih awal sebelum DUN terbubar dengan sendiri.
“Pas Kelantan percaya dengan perkembangan politik negara yang berlaku kini, pembubaran DUN akan berlaku lebih awal. Setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat termasuk senarai nama calon yang akan bertanding pada PRN itu nanti. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya yakin akan ada muka baharu untuk diketengahkan dan pada PRN itu nanti, kebiasaanya 30 peratus daripadanya merupakan golongan itu (muka baharu),” katanya.
Mohd. Amar berkata, perkara tersebut akan menjadi kebiasaan setiap pilihan raya. – UTUSAN










