Polisi negara sumber punca pekerja asing lewat tiba - Saifuddin

Polisi negara sumber punca pekerja asing lewat tiba – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan punca kelewatan ketibaan pekerja asing ke Malaysia ketika ini disebabkan polisi semasa di negara sumber.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mendapati polisi semasa di negara sumber itu mempengaruhi pergerakan keluar pekerja asing ke negara luar khususnya Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan, kelewatan proses membawa masuk pekerja asing juga tertakluk kepada keupayaan majikan dari segi kos dan perbelanjaan.

“Majikan cenderung membawa masuk pekerja asing secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan kos perbelanjaan yang tinggi terutama melibatkan kos penerbangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Katanya, mulai 1 Januari hingga 4 Disember lalu, menerima permohonan membawa masuk pekerja asing seramai 403,869.

Saifuddin berkata, daripada jumlah itu, kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 373,459 orang.

“Manakala, baki sebanyak 30,410 orang sedang diproses dan akan dipertimbang untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja.

“Daripada jumlah 373,459 VDR yang diluluskan tersebut, hanya seramai 254,677 orang pekerja asing atau 68 peratus sahaja yang tiba ke negara ini untuk bekerja,” katanya.

Katanya, setakat 30 November lalu, jumlah pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah seramai 1,391,624 membabitkan tujuh sektor pekerjaan.

Jelasnya lagi, sektor perkilangan mewakili jumlah terbesar dengan 510,507 orang diikuti pembinaan (308,886), perladangan (160,728), perkhidmatan (208,425), pertanian (110,598), pembantu rumah asing (92,338) dan perlombongan (142).

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau menyokong penuh usaha menstrukturkan semula perjawatan baharu di JIM dan ia boleh dilaksanakan tanpa implikasi kewangan.

“Kita mampu mewujudkan perjawatan baharu ini dengan memberi peluang kepada anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat.

“Saya dimaklumkan sebahagian kumpulan sokongan itu mempunyai kelayakan yang tinggi tetapi jawatan yang disandang kini memerlukan kelayakan rendah,” katanya.

Katanya, satu perbincangan kini sedang dilakukan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya