AMPANG: Polis menahan seorang pelayan kedai makan setelah dipercayai mengamuk dan mengugut seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Pandan Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati suspek sebelum itu bertindak menendang motosikal milik mangsa yang diletakkan di hadapan restoran tersebut.
Kata beliau, suspek yang berang setelah ditegur perbuatannya itu kemudian mengambil sebilah sabit dan menendang kerusi dan meja di dalam restoran serta mengugut akan memotong mangsa.
“Mangsa yang takut dengan tindakan suspek itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek yang berumur 36 tahun itu kemudian direman empat hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN