PM utamakan pembangunan Parlimen Tambun - Utusan Malaysia

PM utamakan pembangunan Parlimen Tambun

MUHAMAD Arafat Varisai Mahamad (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada penerima di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri akan membawa lebih banyak pembaharuan dan mengutamakan pembangunan berkaitan infrastruktur termasuk isu jalan rosak di kawasan Parlimen beliau di Tambun di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pembangunan dapat dibawa ke Tambun sudah tentunya akan diberikan keutamaan oleh beliau sebagai ADUN di bawah Parlimen Tambun.

Menurutnya, malah Perdana Menteri telah memberikan lampu hijau iaitu sebarang keperluan dalam Parlimen Tambun cuma perlu dibuat melalui surat permohanan dan akan diluluskan jika ia menepati keperluan rakyat.

“Ini kerana peruntukkan telah tersedia untuk pembangunan di kawasan Tambun.

“Saya di peringkat DUN cuma perlu menyediakan surat permohonan dan dokumen lengkap apa yang diperlukan di kawasan Tambun kepada Perdana Menteri untuk mendapat kelulusan.

“Saya akan membantu untuk Perdana Menteri membawa pembangunan di Parlimen Tambun,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bantuan makanan dapur bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun kepada 30 penerima di sini hari ini.

Muhamad Arafat berkata, antara infrastruktur yang perlu diberi perhatian ialah isu jalan rosak, jalan bertampal dan tidak rata yang menjadi rungutan penduduk selain menyebabkan risiko kemalangan.

Menurutnya, masalah itu telah dibincangkan bersama syarikat konsesi yang dilantik dan akan berbincang dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta beberapa agensi kerajaan dalam masa terdekat.

Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan bahan yang digunakan untuk menurap semula jalan tidak bersesuaian disebabkan peruntukkan yang diterima oleh syarikat konsesi tidak mampu untuk menampung kos penurapan.

“Apabila tiada cukup peruntukan, tar yang tidak sempurna digunakan dan ini akan menyebabkan jalan yang ditampal akan pecah semula.

“Syarikat konsesi terpaksa mengeluarkan duit mereka bagi menyiapkan projek mereka, jadi kita kena adil.

“Ini kawasan Parlimen Perdana Menteri dan rakyat di sini sudah memberi kepercayaan, kita nak pastikan masalah jalan rosak ini tidak akan berbangkit lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam program hari ini, seramai 30 orang menerima kotak bantuan makanan iaitu beras, minyak masak, tepung, susu pekat dan gula.

Muhamad Arafat berkata, penyerahan bantuan itu dikhususkan buat golongan B40 yang benar-benar memerlukan tanpa mengira kaum, agama serta perbezaan fahaman politik.

“Bantuan ini adalah hasil kerjasama bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia dan Gayana Event Sdn Bhd.

“Syarikat swasta atau NGO lain patut mencontohi program sebegini dengan berkongsi rezeki kepada masyarakat yang memerlukan walaupun ini merupakan kawasan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya