IPOH: Sebagai pembangkang, peruntukan tidak besar tetapi bagi membalas kepercayaan pengundi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mencatat rekod sebagai ADUN paling banyak turun padang membantu dan bertemu rakyat.
Pada tahun lalu, Muhamad Arafat yang juga Naib Pengerusi PKR Perak menerusi Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta melaksanakan 160 program dan aktiviti untuk masyarakat di DUN Hulu Kinta.
Daripada jumlah itu, Muhamad Arafat terlibat secara langsung di lapangan sebanyak 116 program.
Setakat tahun ini pula, pusat khidmat ADUN Hulu Kinta mengadakan 167 program dan aktiviti.
Ditanya mengenai perkara itu, Muhamad Arafat berkata, semua itu dilakukan demi memastikan kebajikan rakyat DUN Hulu Kinta dibela sebaik mungkin.
“Rakyat di sini memilih saya sebagai wakil rakyat mereka, sudah tentu saya membalas kepercayaan mereka memilih saya dengan memberikan khidmat yang terbaik untuk mereka.
“Dengan cara ini bertemu secara langsung dengan rakyat, saya dapat menyelami masalah dan keperluan sebenar mereka seterusnya berusaha sedaya mungkin menyelesaikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, antara perubahan bermakna dalam membela rakyat ialah masalah banjir di Taman Putra Impian yang telah berlarutan hampir 10 tahun tapi berjaya diselesaikan dalam masa 10 bulan.
“Begitu juga di Kampung Cheh, Tanjung Rambutan dan beberapa tempat lain masalah banjir lebih 30 tahun dapat saya selesaikan,” katanya. – UTUSAN
– UTUSAN








